APM sasar tubuh 14 Kampung Siaga 221
Azee Shafy
Mac 16, 2023 15:39 MYT
Mac 16, 2023 15:39 MYT
BERA: Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) menyasarkan sekurang-kurangnya 14 Kampung Siaga 221 ditubuhkan di seluruh negara pada tahun ini.
Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed memberitahu, penubuhan itu adalah usaha untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan persediaan awal penduduk menghadapi sebarang bencana.
Menurutnya, masyarakat yang menyertai Kampung Siaga 221 ini akan dilatih untuk memberi maklum balas lebih awal berkaitan insiden bencana tanpa menunggu agensi keselamatan.
"Kampung Siaga 221 ini bertujuan melatih komuniti atau penduduk setempat bagi kesiapsiagaan dalam menghadapi apa jua jenis bencana terutamanya bencana banjir yang sering berlaku di negara kita.
"Jadi dengan adanya penubuhan Kampung Siaga 221 ini mampu bertindak dengan lebih pantas dalam menyelamat mangsa atau mampu mencagah sesuatu bencana menjadi lebih teruk," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Maljis Pelancaran Kampung Siaga 221 Peringkat Negeri Pahang sempena Sambutan Semarak Bulan Pertahanan Awam dan Hari Wanita Kebangsaan 2023, di Dewan Padang Luas, pada Khamis.
Aminurrahim menjelaskan, setakat ini, lima Kampung Siaga 221 sudah ditubuhkan di Kelantan, Terengganu, Perak serta Sarawak, dan yang terkini di Pahang.
Tambahnya lagi, penubuhan Kampung Siaga 221 juga merujuk kepada Akta Pertahanan Awam 221 yang merangkumi 21 fungsi APM selain berfungsi dalam masa aman, masa peperangan dan mangsa bencana dengan mengambil apa-apa jua langkah bagi menyelamat, melindungi dan mengurangkan kehilangan nyawa serta kerosakan ke atas harta benda penduduk awam.
"Kampung Siaga 221 juga akan dikembangkan ke kawasan 'hotspot' bencana. Dan secara tidak langsung, dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa atau kecederaan akibat bencana yang berlaku," ujarnya.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Pengerusi Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan turut merasmikan penubuhan Pasukan Pengendali Bot Amfibia Sealeg Wanita yang pertama dalam negara.
Katanya, penubuhan itu bertepatan dengan tema negeri Pahang iaitu 'Pahang First' yang sentiasa mendahului negeri-negeri lain dalam perkara berkaitan kemasyarakatan.
"Pahang merupakan negeri pertama membeli dan mempunyai Sealog sebanyak dua buah di Malaysia. Malah, seramai 12 peserta wanita terdiri daripada pegawai dan anggota APM termasuk tiga dari Bera telah memulakan latihan sebulan yang lalu.
"Manakala, seramai 30 peserta wanita di dalam kawasan DUN Guai dilantik sebagai Sukarelawan Skuad Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) Wanita Guai," katanya.
Sabariah memberitahu, skuad ini bernaung di bawah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guai yang bakal dilatih APM yang bertujuan bagi membantu mengurangkan kesan terhadap sesuatu kecemasan atau Bencana di peringkat awal.
Beliau menambah, Skuad CDERT ini akan dapat membina komuniti yang berdaya tahan dan meningkatkan kemampuan untuk menyesuaikan diri dan tetap teguh dalam situasi sulit yang akan dihadapi.
Sekali gus, dapat mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan sekaligus keberkesanan pengurusan bencana di pelbagai peringkat.