APM Sarawak tumpu usaha tubuh pasukan komuniti di pedalaman
Bernama
April 28, 2023 05:41 MYT
April 28, 2023 05:41 MYT
SIBU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak menumpukan usaha untuk menubuhkan pasukan komuniti khususnya di kawasan pedalaman yang terdedah risiko bencana agar dapat memberikan tindakan awal sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Pengarah APM Sarawak Penolong Pesuruhjaya Pertahanan Awam Abdul Wahab Rahim berkata masyarakat yang menyertai pasukan sukarela itu akan dilatih dan diberi pendedahan menangani bencana serta dilengkapi dengan peralatan asas.
"Strategi ini sangat berkesan. APM akan menubuhkan pasukan komuniti di kawasan berisiko seperti Sungai Asap dan Long Bedian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Kenaikan Pangkat APM Daerah Sibu pada Jumaat.
Beliau berkata langkah tersebut dijangka meningkatkan kos operasi APM, namun dalam jangka masa panjang, ia sangat praktikal.
Menurut Abdul Wahab APM Sarawak sudah mempunyai senarai titik panas kawasan yang pernah berlaku bencana seperti banjir, tanah runtuh dan kebakaran yang dijadikan kawasan tumpuan angkatan tersebut untuk ditempatkan dengan kekuatan pasukan yang lebih besar.
"Kita mempunyai kira-kira 100 kawasan berisiko bencana terutamanya di kawasan luar bandar seperti Sungai Asap dan Long Bedian dan kawasan tersebut sukar dicapai," katanya.
Pada majlis tersebut seramai 46 anggota lain-lain pangkat serta 11 pegawai dari daerah Sibu, Kanowit dan Selangau menerima kenaikan pangkat masing-masing.
Abdul Wahab berkata program kenaikan pangkat itu bertujuan menstruktur pasukan APM dan memberi penghargaan kepada anggota yang terlibat dengan harapan agar mereka lebih bersemangat serta bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas.
-- BERNAMA