APM Kelantan sudah tangkap 1,986 ular setakat semalam

Bernama
Mac 18, 2021 13:42 MYT
Keadaan cuaca panas dan kemarau sekarang menyebabkan haiwan berbisa seperti ular akan mencari kawasan sejuk untuk berlindung atau berehat. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan merekodkan 1,986 kes tangkapan ular pelbagai spesies sejak Januari hingga semalam.
Pengarah APM Kelantan Zainuddin Hussin berkata tangkapan paling banyak dilakukan melibatkan spesies ular senduk iaitu 614 ekor diikuti ular sawa (434) dan tedung (49).
Beliau berkata spesies ular lain yang turut berjaya ditangkap ialah ular katam tebu, susuk kerbau, cemati, ular lidi, kapak dan ponti yang kesemuanya berjumlah 889 ekor.
"Berdasarkan statistik, daerah Kota Bharu merekodkan jumlah tangkapan terbanyak iaitu 529 ekor diikuti Bachok (280), Machang (195); Tanah Merah (191); Pasir Puteh (187) dan Tumpat (167).
"Jika mengikut tangkapan bulanan, Januari mencatatkan tangkapan sebanyak 759 ekor, Februari (821) manakala untuk bulan Mac sejumlah 406 ekor ditangkap setakat semalam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zainuddin berkata, keadaan cuaca panas dan kemarau sekarang menyebabkan haiwan berbisa seperti ular akan mencari kawasan sejuk untuk berlindung atau berehat.
Katanya, kebanyakan kes tangkapan ular yang dilakukan ketika ini dibuat selepas pihaknya menerima aduan penduduk berkaitan haiwan berbisa itu menceroboh masuk dan bersembunyi di dalam rumah.
"Kita berharap penduduk jangan mengambil langkah sendiri menangkap ular, hubungilah pihak berkaitan yang mempunyai kepakaran dan peralatan mencukupi.
"Kesemua ular yang ditangkap akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan lanjut termasuk dilepaskan ke habitat asal," katanya.
-- BERNAMA
#APM kelantan #ular #tangkapan #Kelantan #cuaca panas #haiwan berbisa #hidupan liar
;