APM Kedah laksana penambahbaikan dalam SAR ketika bencana

Bernama
Februari 22, 2023 04:00 MYT
APM Kedah melaksanakan beberapa penambahbaikan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam usahanya mengekalkan momentum lebih cekap dan berkesan semasa berdepan bencana atau sebarang kecemasan. - Gambar fail
BALING: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah melaksanakan beberapa penambahbaikan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam usahanya mengekalkan momentum lebih cekap dan berkesan semasa berdepan bencana atau sebarang kecemasan.
Pengarah APM Kedah Left Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata penambahbaikan itu membabitkan komponen seperti mekanisme pengurusan pasukan, kerjasama berkumpulan, masa tindak balas dan memperbaiki semula koordinasi komunikasi agar lebih baik daripada sebelumnya.
"Selepas Eksesais SAR Zon Utara tahun lepas kita dapati ada komponen yang boleh kita tambah baik untuk dibuat di Zon Selatan, namun masih menggunakan skop tugasan yang sama iaitu APM sebagai agensi tindak balas terhadap bencana dan sekretariat pengurusan bencana peringkat daerah serta negeri.
"Jadi untuk eksesais kali ini, kita membuat penambahbaikan termasuklah kecekapan dan kemahiran anggota, kekuatan anggota dan logistik serta ilmu kemahiran," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Eksesais SAR APM Kedah Zon Selatan di Dusun Tok Wak Desa Sentosa di sini hari ini.
Awang Askandar berkata eksesais seumpama itu memberi ruang dan peluang kepada pegawai serta anggota terlibat membuat latihan sebagai persediaan untuk tindakan lebih cekap semasa bertugas di lapangan sekiranya berlaku bencana.
"Seramai 120 pegawai dan anggota dari lima daerah iaitu Baling, Sik, Kulim, Bandar Baharu dan Kuala Muda terlibat dalam eksesais dua hari yang bermula semalam dan berakhir hari ini," katanya.
--BERNAMA
#APM Kedah #penambahbaikan SAR #bencana #operasi mencari dan menyelamat
;