APM Kedah bentuk empat platun tambah baik pasukan SAR
Abd Hadi Che Awang
Julai 26, 2022 10:30 MYT
Julai 26, 2022 10:30 MYT
JITRA: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah telah membentuk dan mewujudkan empat platun yang melibatkan 120 anggota agensi berkenaan dari zon utara dan zon selatan negeri itu sebagai usaha menambah baik aturan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub memaklum, inisiatif itu juga adalah bagi memastikan pasukan berkenaan dapat tiba di lokasi, iaitu kawasan bencana, dengan lebih cepat.
Tambahnya, kemahiran anggota yang terlibat dalam empat platun dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui latihan yang diadakan sebagai persediaan awal menghadapi bencana alam seperti kepala air dan banjir lumpur.
"Kita menambah baik dari segi pengaturan pasukan khususnya untuk mudahkan pergerakan pasukan dan menghantar pasukan mencari dan menyelamat ini ke kawasan kejadian.
"Jadi ia akan lebih singkat dan cepat termasuk sekiranya berlanjutan pada hari seterusnya.
"Kita akan gerakkan pasukan dari zon selatan pula dan zon selatan ada dua platun, dan perancangan kita ada empat platun iaitu 120 orang anggota yang telah kita latih dalam operasi mencari dan menyelamat," katanya.
Dalam perkembangan sama, APM Kedah turut akan melakukan pemantauan di semua kawasan berisiko berlakunya banjir kilat termasuk kepala air susulan cuaca yang tidak menentu di negeri itu sejak kebelakangan ini.
Agensi berkenaan turut mengarahkan pasukan-pasukan dari setiap daerah bagi melakukan pemantauan di kawasan yang dikenalpasti dari semasa ke semasa.
"Mengenai hotspot tersebut, kalau APM ini kami melihat daripada kejadian atau pengalaman sebelumnya, contoh di kawasan ini dulu pernah berlaku kepala air, dari situ kita ambil profil di daerah masing-masing, kita bersedia, daripada agensi seperti JMG depa lebih arif tentang perkara tersebut," ujarnya lagi.
Tambah beliau, antara kawasan yang dikenal pasti berisiko berlaku kejadian kepala air di Kedah terutama melibatkan kawasan zon selatan adalah di Lata Paya Mengkuang di Sik, Bukit Hijau dan Lata Bayu (Baling), Sedim (Kulim) dan Tupah (Merbok).