APM giat latihan persediaan hadapi bencana
Bernama
Julai 23, 2022 17:06 MYT
Julai 23, 2022 17:06 MYT
KUALA LUMPUR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sentiasa menggerakkan latihan sebagai langkah bagi memastikan anggotanya terus bersedia untuk berdepan sebarang risiko bencana.
Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed berkata latihan-latihan yang dilakukan adalah penting apatah lagi tatkala negara sedang berhadapan dengan situasi cuaca yang tidak menentu ketika ini.
"Biasanya seperti tahun-tahun sebelum ini, sekarang sudah masuk musim panas, tapi nampaknya (tahun ini) masih lagi kita tak dapat jangkakan. Sebab itu APM terus melatih dan menggalakkan anggota-anggota untuk sentiasa terus berlatih.
"Orang awam juga boleh untuk bersama-sama menyertai latihan-latihan yang disediakan," katanya ketika ditemui pada Program Larian Dekad Platinum APM di sini hari ini.
Larian yang dianjurkan sempena ulangtahun ke-70 APM itu disertai seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada anggota-anggota, ahli bersekutu dan sukarelawan agensi tersebut.
-- BERNAMA