APM gerakkan 11,000 anggota hadapi Monsun Timur Laut

Bernama
September 14, 2024 16:00 MYT
Aset-aset APM kini bersedia untuk digerakkan bagi menghadapi MTL. - Gambar fail/Bernama
PADANG BESAR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap sedia dengan kekuatan 11,000 anggota di seluruh negara bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM Kol (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata aset-aset APM juga bersedia untuk digerakkan bagi menghadapi MTL.
"Biasanya kita akan bersiap sedia dengan lebih kurang 11,000 anggota untuk menghadapi Monsun Timur Laut ini...(daripada segi penempatan) kalau di Pantai Timur kita akan letak di kawasan sering banjir. Bila berlaku MTL kita akan bekukan cuti pegawai (dan anggota)," katanya selepas menutup Himpunan Pertahanan Awam (HiPA) Zon Utara 2024 di Tasoh Lake Resort dekat sini hari ini bagi mewakili Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam Datuk Aminurrahim Mohamed.
Mohd Rosman turut menasihati orang ramai agar tidak mengunjungi kawasan rekreasi yang berisiko bencana sepanjang MTL bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan HiPA antara aktiviti memantapkan lagi kemahiran anggota APM di peringkat negeri dengan HiPA Zon Utara melibatkan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis itu berlangsung selama dua hari bermula semalam.
-- BERNAMA
#Angkatan Pertahanan Awam Malaysia #APM #monsun timur laut #Mohd Rosman Abdullah #banjir
;