ALOR SETAR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah kini lebih memberikan fokus kepada empat daerah yang dijangkakan berisiko tinggi berlaku banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Bahagian Sekretariat APM Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata tumpuan khusus diberikan di daerah Baling, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bencana itu berdasarkan kekerapan banjir serta ramalan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"(Contoh) di Baling setakat ini dah mencatatkan banjir kilat sebanyak 23 kali...kita lebih persediaan dari segi anggota, aset dan logistik," katanya kepada pemberita sebelum melepaskan peserta misi bantuan banjir APM Kedah ke Terengganu di Kompleks APM Kota Setar di sini, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Pengarah APM Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff.

Seramai 20 anggota Pasukan Respon Bencana Sokongan (PARAS) APM Kedah yang diketuai Pegawai Bahagian Operasi dan Bencana APM Kedah Left (PA) Mohd Shukri Shuib bergerak ke Terengganu malam tadi untuk penugasan bantuan memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara.

Muhammad Suhaimi berkata APM Kedah kerap melaksanakan pemantauan secara berkala pada sebelah pagi dan petang bagi memastikan kesiapsiagaan anggota serta logistik dalam menghadapi sebarang kemungkinan banjir di negeri ini.

Selain itu, katanya penyelarasan dengan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) dan badan bukan kerajaan (NGO) turut dilaksanakan bagi melancarkan urusan bantuan ke kawasan bencana di Kedah.

Beliau berkata pihaknya juga optimis dapat menambah baik prosedur operasi standard (SOP) ketika operasi menyelamat semasa banjir sekali gus dapat memastikan pergerakan anggota dan pegawai berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

-- BERNAMA