APM dua kali tangkap ular di rumah yang sama dalam tempoh dua hari

Adie Sufian Zulkefli
Januari 9, 2020 08:35 MYT
Anggota APM Padang Terap menunjukkan ular yang ditangkap malam tadi.
Dua kali dalam tempoh dua hari, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Padang Terap pergi ke rumah yang sama di Kampung Berdikari dekat Naka di sini, untuk menangkap ular tedung selar.
Dalam kejadian Selasa lalu, ular tedung selar ditangkap di dalam rumah berkenaan dan kira-kira jam 7.30 malam tadi, ular yang dipercayai "pasangannya" pula ditangkap di dalam reban ayam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, sepasukan empat anggota diketuai Leftenan Muda (PA) Nurul Nadya Yahya tiba di lokasi pada jam 8.10 malam.
Katanya, anggotanya terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular tedung selar berkenaan kerana kedudukannya yang berada di sudut yang sempit.
Mohd Shukri berkata, ular tedung selar seberat 20 kilogram itu juga bertindak agresif ketika cuba ditangkap, mungkin berasa terancam.
Bagaimanapun, katanya, dengan menggunakan penjerut serta kemahiran menangkap ular, anggotanya berjaya menjalankan misi tersebut.
Sepanjang tempoh lapan hari pada awal tahun ini, anggota APM Padang Terap berjaya menangkap 27 ekor ular pelbagai spesis yang kebanyakannya tedung selar, tedung senduk dan sawa.
Mohd Shukri berkata, sehubungan itu orang ramai perlu berhati-hati kerana cuaca panas terik yang dijangka berakhir Mac depan akan menyebabkan reptilia itu agresif disebabkan lapar.
Kesemua ular yang ditangkap diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
#agresif #angkatan pertahanan awam #cuaca panas #Kedah #Mohd Shukri Shuib #Nurul Nadya Yahya #Padang Terap #pasangan #rumah #ular #ular tedung selar
;