APM bantu bawa wanita 200kg positif COVID-19 ke hospital

Sinar Harian
November 15, 2022 07:30 MYT
Mangsa dibawa menggunakan sebuah lori dari sebuah hotel ke Hospital Kajang di sini pada Selasa. - Foto Sinar Harian
KAJANG: Usaha membawa seorang wanita dengan berat badan 200 kilogram (kg) yang positif COVID-19 mengambil masa hampir sejam menggunakan sebuah lori dari sebuah hotel ke Hospital Kajang pada Selasa.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hulu Langat, Kapten Pertahanan Awam Roslan Lok berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk bantu membawa mangsa ke hospital kira-kira jam 5.55 petang.
"Kami dimaklumkan percubaan untuk mengangkut mangsa menggunakan kenderaan pacuan empat roda tidak berjaya kerana kedudukan pesakit tidak stabil untuk dibawa.
"Pihak KKM kemudiannya membuat keputusan memohon khidmat APM untuk membawa sebuab lori kerana ia lebih luas dan dilengkapi dengan pengangkut hidraulik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Roslan berkata, usaha membantu urusan tersebut berhasil dengan kerjasama beberapa anggota APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) dan KKM.
"Proses memindahkan mangsa yang dianggarkan seberat hampir 200 kilogram itu memakan masa hampir sejam selain memastikan pesakit didalam keadaan stabil dan selesa," katanya. - Sinar Harian
#COVID-19 #APM #Hospital #Hospital Kajang
;