Aplikasi 'Verify Halal': Semak status halal dengan imbas kod produk

Dania Zainuddin
Ogos 9, 2017 16:57 MYT
Pada Mei lalu, aplikasi ini sudah dilancarkan kepada pengguna Android dengan lebih 10,000 jumlah muat turun dan menerima maklum balas yang positif di kalangan pengguna. - Gambar Astro AWANI
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Serunai Commerce Sdn. Bhd. melancarkan aplikasi ‘Verify Halal’ bagi pengguna iOS hari ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek berkata, ia bakal memudahkan pengguna menyemak status halal sesuatu produk dengan hanya mengimbas kod produk menggunakan telefon pintar.
Katanya, ini sekali gus menunjukkan komitmen Jakim dalam membangunkan industri halal di negara ini.
“Saya difahamkan aplikasi berkenaan sangat mudah digunakan dan pengguna hanya perlu semak dan imbas kod produk menggunakan telefon pintar.
“Malah, aplikasi berkenaan turut membekalkan maklumat produk halal makanan, kesihatan dan kosmetik daripada Badan Pengiktirafan Halal Antarabangsa yang diiktiraf oleh Jakim,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu.
Turut hadir Pengerusi Sphere Exhibits Malaysia, Chua Wee Phong, Penolong Pengarah Hab Halal Jakim, Mohd. Safzan Mohd. Mukhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Serunai Commerce, Amnah Shaari
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Serunai Commerce, kemudahan ini bukan sahaja memberi akses kepada data halal Jakim, tetapi juga maklumat produk halal lain di negara-negara lain yang sudah diiktiraf Jakim.
Pada Mei lalu, aplikasi ini sudah dilancarkan kepada pengguna Android dengan lebih 10,000 jumlah muat turun dan menerima maklum balas yang positif di kalangan pengguna.
#Amnah Shaari #Chua Wee Phong #iOS #JAKIM #Mohd Safizan Mohd Mukhtar #Nogeh Gumbek #Serunai Commerce #Verify Halal
;