Aplikasi untuk bantu wanita henti guna perkataan 'Maaf' dalam emel

Syafique Shuib
Januari 8, 2016 11:22 MYT
Perkataan 'Minta Maaf' atau 'Saya bukan pakar' dalam emel seakan melemahkan kuasa wanita di pejabat.
JANGAN meminta maaf dalam emel!
Demikian objektif sebuah aplikasi baharu yang bercita-cita mahu memperkasakan golongan wanita di tempat kerja
Ia bermula dengan tindakan tidak menggunakan perkataan seperti “Minta Maaf” dalam emel.
Menurut pereka aplikasi Just Not Sorry, perkataan “Minta Maaf” atau “Saya Bukan Pakar” dalam emel seakan melemahkan kuasa golongan wanita di pejabat.
Lapor The Daily Mail, aplikasi Just Not Sorry kini boleh digunakan dengan aplikasi Gmail dan mempunyai fungsi seperti Spell Checker.
Sebelum emel itu dihantar, ia akan menggaris perkataan dan frasa seperti “Maaf”, “Bukan Pakar,” dan “Sebenarnya”.
Ia terpulang kepada pengguna untuk menggantikannya dengan perkataan lain.
Dilaporkan aplikasi ini dimajukan oleh Cyrus Innovation dan diilhamkan oleh pakar mengenai kehidupan Tara Mohr.
“Ramai wanita terutamanya yang lebih junior, apabila tidak menggunakan perkataan sebegitu, akan menerima jawapan dengan lebih cepat dan substansif,” kata Mohr.
Menurut seorang lagi pakar dan penulis buku "The Fear-Free Organization: Vital Insights From Neuroscience To Transform Your Business Culture" Joan Kingsley, meminta maaf dalam emel mempunyai intonasi negatif.
“Anda seolah membuat penerima berfikir anda telah melakukan kesilapan, namun secara hakikatnya anda tidak membuat salah pun,” kata Kingsley, dipetik dari The Daily Mail.
#aplikasi #Gmail #Just Not Sorry
;