Aplikasi teori Keynesian dalam menghadapi COVID-19
Hisyam Basabah
April 2, 2020 18:01 MYT
April 2, 2020 18:01 MYT
EKONOMI antarabangsa mengalami reformasi pada dekad 1930-an apabila berlakunya industrialisasi yang meluas di seluruh dunia.
Walaupun dekad tersebut dipengaruhi oleh kemelesetan ekonomi yang cukup hebat, namun ia tidak menghalang globalisasi ekonomi tersebar secara aktif melalui perdagangan senjata bagi menghadapi Perang Dunia kedua.
Modenisasi ekonomi telah menyebabkan kapitalisme menjadi corak ekonomi paling berpengaruh di dunia sekalipun kebangkitan ekonomi komunisme mulai mencabar keunggulan sistem kapitalisme.
Modenisasi ekonomi telah melahirkan integrasi ekonomi serantau, perjanjian komoditi antarabangsa dan suntikan pelaburan keusahawanan sehingga menjadikan ekonomi antarabangsa bersifat kesalingbergantungan.
Malaysia tidak terlepas daripada menjadi pemain dalam perdagangan bebas dan liberalisasi ekonomi.
Semenjak merdeka, Malaysia telah mengamalkan corak ekonomi kapitalis merujuk kepada sistem ekonomi dan sosial yang dibina semata-mata untuk mengaut keuntungan maksimum.
Sistem ini diwarisi semenjak zaman kolonial dan diaplikasi oleh negara setelah mencapai kemerdekaan.
Kapitalisme cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu mahupun syarikat tanpa penglibatan dan campur tangan pihak kerajaan.
Walau bagaimanapun, di dalam sistem kapitalis terdapat idea yang dibangunkan oleh John Maynard Keynes yang menyatakan bahawa kapitalisme akan berfungsi dengan baik di bawah seliaan kerajaan kerana kerajaan dilihat mampu menjadi medium urus niaga dan bertindak adil dengan tidak menindas pekerja, maka secara tidak langsung Malaysia telah mengguna pakai idea ini bagi memastikan pengoperasian sistem kapitalisme tidak terlalu berorientasikan keuntungan sehingga menindas golongan buruh.
Kemelesetan ekonomi adalah sebuah fenomena yang paling dibimbangi oleh masyarakat antarabangsa kerana mampu menatijahkan kesan yang bukan kepalang kepada masyarakat dan individu.
Hal ini kerana, operasi dunia yang lancar didasari oleh ekonomi yang aktif dan perdagangan antarabangsa adalah enjin utama kepada kemakmuran ekonomi dunia.
Sekiranya ekonomi antarabangsa dapat berjalan dengan baik, maka secara tidak langsung akan mempengaruhi ekonomi domestik sesebuah negara sekiranya sesebuah negara tersebut juga aktif sebagai pemain di dalam sistem ekonomi dan perdagangan antarabangsa.
Kemelesetan ekonomi dipengaruhi oleh banyak faktor antaranya ialah peperangan, bencana alam mahupun pandemik yang kini telah menyerang seluruh dunia.
Kejatuhan Ekonomi Ekoran Penularan Pendemik dan Usaha Mengatasinya
COVID-19 adalah pandemik yang telah menyerang seluruh dunia hingga mengakibatkan ratusan ribu manusia dijangkiti virus yang sangat berbahaya ini dan ribuan kematian telah dicatat akibat penularan pandemik yang bermula di Wuhan, China.
COVID-19 telah menyebabkan banyak negara terjejas dan berhadapan dengan pelbagai krisis kesihatan dan ekonomi yang meruncing.
Banyak syarikat-syarikat telah menghentikan operasi mereka, perdagangan disekat, para pekerja tidak boleh keluar bekerja, bekalan barangan mulai berkurangan dan menyebabkan kenaikan harga barang, pendapatan individu dan masyarakat terjejas serta pendapatan dan ekonomi negara juga mulai menampakkan draf penurunan yang cukup ketara.
Bagi negara yang mengamalkan ekonomi kapitalis, sudah pasti banyak syarikat yang akan memilih jalan untuk memberhentikan pekerja mereka kerana ketidakmampuan membayar gaji, hal ini didasari oleh sistem kapitalis itu sendiri iaitu memaksimumkan keuntungan dan meminimumkan kerugian.
Namun Malaysia adalah Malaysia, masih kekal mengamalkan cara yang bersifat manusiawi dalam menghadapi sesuatu krisis.
Benar, krisis COVID-19 ini mampu menjerumuskan Malaysia kepada malapetaka kesihatan dan ekonomi yang maha dasyat.
Namun, kerajaan dilihat telah mengguna pakai pendekatan Keynesian bagi mengelakkan ekonomi negara tepu akibat perintah kawalan pergerakan yang telah diumumkan pada 15 April 2020 yang lalu, sebagai salah satu usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 ini.
Kerajaan menerusi pengumuman YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan pakej ransangan ekonomi yang bernilai RM 250 Bilion bagi merancakkan ekonomi negara ketika pandemik ini berlaku.
Pelbagai peruntukan diberikan kepada rakyat khususnya golongan B40 dan M40 bagi membantu meringankan bebanan mereka yang terjejas akibat COVID-19 ini.
Selayang pandang, Teori Keynesian ini dibangunkan oleh John Maynard Keynes, seorang ahli ekonomi liberal Inggeris.
Beliau berpendapat bahawa kerajaan mampu mempengaruhi pengoperasian ekonomi.
Walau bagaimanapun Keynes melihat bahawa pengaruh ini tidak boleh dijalankan melalui pelaksanaan langsung dari pihak kerajaan, melainkan melalui pengaturan pemboleh ubah ekonomi utama dan membuka konsekuensi ekonomi dan pengaturan melalui regulasi pemerintahan.
Teori ekonomi yang dibangunkan oleh John Maynard Keynes dari Universiti Cambridge ini berdasarkan atas hipotesis siklus arus kewangan yang mampu meningkatkan kuasa beli dalam sistem perekonomian, seterusnya akan mendorong perbelanjaan dalam kalangan rakyat dan pendapatan dalam kalangan rakyat yang lain.
Menurut Teori Keynesian, bagi mengaktifkan 'siklus' ekonomi domestik sesebuah negara supaya tidak menjadi tepu ialah konsumsi yang dilakukan oleh seseorang di dalam aktiviti jual beli akan menjadi pendapatan untuk orang lain yang mana ia akan membantu meningkatkan pendapatan individu lain dan merebak ke jumlah individu yang lebih besar.
'Siklus' ini akan menjadikan aktiviti perekonomian dapat berjalan secara normal.
Ketika Great Depression melanda dunia pada dekad 1930-an, masyarakat secara tidak sedar mula berjimat cermat dan tidak membelanjakan wang mereka kerana beranggapan dengan cara tersebut, ia akan dapat membantu mereka menyimpan wang untuk masa akan datang yang tidak pasti bagaimanakah keadaannya.
Menurut Keynes, ia adalah suatu kaedah yang salah kerana hanya mengakibatkan siklus putaran wang dalam pasaran ekonomi domestik berhenti, seterusnya menyebabkan ekonomi negara lumpuh.
Teori beliau ini bertentangan dengan teori kapitalisme yang menekankan bahawa campurtangan kerajaan tidak seharusnya berlaku dalam pasaran, namun bagi Keynes perkara tersebut hanya akan meningkatkan lagi penindasan kepada masyarakat.
Oleh kerana itu, YAB Perdana Menteri telah memperuntukkan sebanyak RM250 bilion iaitu suatu peruntukan yang sangat besar demi memastikan setiap kelompok masyarakat di Malaysia mempunyai kuasa beli yang kekal tinggi dalam menghadapi krisis kesihatan yang maha dasyat ini.
Dengan cara itu, aktiviti perekonomian akan kekal beroperasi dan mengekalkan juga putaran wang di dalam pasaran negara.
Hal ini sebagai salah satu cara atau ikhtiar pihak kerajaan mengelakkan krisis ekonomi yang sangat teruk rentetan daripada wabak COVID-19 yang melanda dunia pada ketika ini.
Walau bagaimanapun, tiada siapa yang tahu bila wabak COVID-19 ini akan berakhir, namun ia juga bergantung kepada tahap kesedaran rakyat untuk bersama-sama kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak ini dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.
Sekiranya wabak ini terus berlanjutan sehingga tiga hingga enam bulan, maka ia akan memberikan kesan yang amat teruk kepada ekonomi negara.
Mungkin buat masa ini kerajaan masih lagi mampu untuk menyuntik pelan ransangan ekonomi dan membantu rakyat dengan pelbagai bantuan kewangan atau penangguhan pinjaman, namun sampai bila?
Apa yang kan berlaku kepada ekonomi negara ketika dan pasca wabak ini?
Mahu tidak mahu Malaysia perlu bebas dari wabak ini secepat mungkin bagi mengelakkan malapetaka ekonomi.
China sebagai negara “pengeksport” COVID-19 ini telah bebas dari wabak ini melalui undang-undang yang ketat dan agak “draconian”.
Penguatkuasaan yang ketat dan agak menekan telah berjaya membebaskan mereka daripada terus menanggung sengsara.
Mungkin Malaysia perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas dan agak “draconian” terhadap masyarakat demi memastikan rantaian penularan COVID-19 ini berjaya dihentikan.
Jika tidak, apa sahaja teori ekonomi sama ada yang diilhamkan oleh John Maynard Keynes, Friedrich Hayek, Adam Smith, Karl Marx, Immanual Kant atau siapa sahaja tidak akan memberikan apa-apa makna kerana perkara terpenting adalah kebersamaan rakyat dalam menjayakan usaha kerajaan.
Segala usaha kerajaan pada ketika ini adalah untuk rakyat!
* Hisyam Basabah merupakan penulis bebas dan penganalisis sosial.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.