Aplikasi Telegram antara yang kerap digunakan sindiket penipuan pelaburan

Bernama
September 6, 2024 17:03 MYT
1,346 kes babitkan kerugian RM29.96 juta direkod menerusi aplikasi Telegram untuk tujuan penipuan pelaburan dalam tempoh 8 bulan tahun ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Aplikasi Telegram antara 16 medium komunikasi utama yang kerap digunakan bagi penipuan pelaburan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
Beliau berkata 1,346 kes membabitkan kerugian RM29.96 juta direkodkan menerusi aplikasi Telegram untuk tujuan penipuan pelaburan dalam tempoh lapan bulan tahun ini.
Selain Telegram, medium lain bagi penipuan ialah Facebook dan Whatsapp yang masing-masing merekodkan 948 kes dan 873 kes diikuti Instagram (146 kes), bersemuka (96 kes), aplikasi janji temu sosial (61 kes) serta lain-lain (393 kes) termasuk WeChat, laman web dan sebagainya.
"Analisis (setakat Ogos 2024) mendapati mangsa paling banyak ditipu ialah wanita iaitu 2,124 orang dengan kerugian RM315.3 juta manakala lelaki seramai 1,740 orang membabitkan kerugian RM170 juta," katanya pada sidang media di Pejabat JSJK di sini hari ini.
Ramli berkata secara keseluruhannya, penipuan pelaburan dalam talian mencatatkan kerugian yang membimbangkan iaitu RM483.95 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos lepas.
Berhubung penipuan love scam Ramli berkata wanita paling ramai menjadi mangsa dengan 79.3 peratus daripada keseluruhan 2,223 kes yang direkodkan bagi tempoh 2022 hingga Ogos lepas adalah golongan tersebut.
Beliau berkata antara faktor yang menyebabkan wanita mudah menjadi mangsa penipuan love scam, ialah mereka lebih terbuka daripada segi emosi dan hubungan peribadi, menyebabkan mereka mudah dieksploitasi sindiket.
"Tiada kategori umur tertentu yang disasarkan oleh sindiket love scam. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa. Contohnya pada 2022, jumlah mangsa tertinggi direkodkan berada dalam kategori umur 21 hingga 30 tahun membabitkan 211 individu.
"Pada 2023, mangsa paling ramai berusia antara 41 hingga 50 tahun iaitu seramai 215 individu manakala setakat Ogos tahun ini, individu dalam kategori umur 21 hingga 30 tahun menjadi mangsa paling ramai iaitu 178 individu," katanya.
Ramli berkata pihaknya menjangkakan kes love scam tahun ini akan melebihi atau menyamai jumlah kes yang direkodkan dua tahun sebelumnya, apabila 496 kes dengan kerugian RM23.3 juta dicatatkan berlaku setakat lapan bulan pertama tahun ini.
Pada 2023, polis merekodkan 935 kes love scam dengan kerugian RM43.9 juta, meningkat daripada 792 kes dengan kerugian RM56.2 juta pada tahun sebelumnya.
-- BERNAMA
#sindiket penipuan #pelaburan #Telegram #media sosial
;