Aplikasi promosi haji dan umrah hijau dilancar

Bernama
Julai 19, 2021 05:29 MYT
Dilancarkan secara maya, Pengasas dan Pengarah Inisiatif 'Faith for Earth' di bawah UNEP, Dr Iyad Abu Moghli bertindak sebagai moderator. - Facebook Global One
KUALA LUMPUR: Dalam usaha memotivasi dan memberi inspirasi kepada jemaah haji memelihara alam sekitar ketika menunaikan ibadah Haji dan Umrah, sebuah Panduan Hijau dan aplikasi mudah alih dilancarkan di London pada Isnin sempena hari Arafah.
Aplikasi itu dibangunkan Global One, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di United Kingdom.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Husna Ahmad, Panduan Hijau untuk Haji dan Umrah versi kedua ini muncul 10 tahun selepas versi pertama dilancarkan di Assisi, Itali, di bawah naungan Alliance of Religion and Conservation.
"Pandemik COVID-19 telah memberi kita semua ruang untuk merenung dan menilai sumbangan kita untuk membangun masyarakat yang lebih lestari berdasarkan solidariti dan kasih sayang," katanya.
Dilancarkan secara maya manakala Pengasas dan Pengarah Inisiatif 'Faith for Earth' di bawah Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), Dr Iyad Abu Moghli bertindak sebagai moderator.
Global One, adalah sebahagian daripada Ummah for Earth Alliance, menampilkan panduan dan aplikasi untuk individu, masyarakat, kerajaan dan institusi bagi membolehkan ziarah lebih hijau serta menggalakkan kehidupan seharian yang lebih lestari.
Ini termasuk cadangan mengenai pengurusan sampah, pengangkutan awam dan penggunaan tenaga untuk mengurangkan kesan karbon semasa Haji dan Umrah.
Panduan Hijau tersebut antara lain memuatkan senarai semak untuk jemaah sebelum berangkat, semasa ketibaan dan setelah menunaikan Haji atau Umrah.
Ia turut dilengkapi panduan memilih produk dan perkhidmatan, makanan dan minuman, penggunaan air dan memilih pakaian atau aksesori.
Aplikasi Hijau untuk Haji dan Umrah boleh didapati di Google Play Store dan App Store.
-- BERNAMA
#aplikasi #umrah #panduan #Global One #Husna Ahmad #panduan hijau #Haji #London #alam sekitar #NGO #karbon #tenaga #lestari #pakaian #aksesori #jemaah #sampah #pengangkutan #Iyad Abu Moghli #UNEP #Ummah for Earth Alliance
;