Aplikasi Park@Perak cecah lebih setengah juta pengguna

Astro Awani
September 24, 2022 08:40 MYT
Pengguna aplikasi pintar letak kereta negeri Perak, Park@Perak telah mencecah lebih setengah juta atau 530,000 orang sehingga kini.
IPOH: Pengguna aplikasi pintar letak kereta negeri Perak, Park@Perak telah mencecah lebih setengah juta atau 530,000 orang sehingga kini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, aplikasi yang mula diperkenal pada Januari 2019 itu dijangka mencapai lebih 700,000 pengguna pada tahun 2024.
Kata Rumaizi, pengguna dari bandar raya Ipoh menjadi antara yang tertinggi menggunakan aplikasi tersebut, dengan jumlah 400,000 orang.
"Sebanyak 75 peratus daripada jumlah setengah juta itu merupakan pengguna dari Ipoh dengan 400,000 orang.
"Kupon tidak lagi dikeluarkan mulai 1 Jun lalu dan tiada jualan kepada ejen sejak dari tarikh itu seperti yang diumumkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sejak akhir tahun lalu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan pembayaran parking secara digital ini selari dengan hala tuju MBI, untuk menjadikan Ipoh Bandaraya Pintar menjelang 2030.
Katanya lagi, ia bertepatan dengan saranan kerajaan Persekutuan supaya agensi kerajaan memberi perkhidmatan berkonsepkan digital.
Sehubungan itu katanya, pihaknya juga menyahut saranan itu untuk mendigitalkan perkhidmatan MBI termasuk dalam urusan letak kereta.
"Aplikasi atau teknologi tanpa tunai atau kupon ini bukan perkara baharu, malah sudah lama dipraktikkan di negara lain termasuk di bandar raya lain di Malaysia.
"Pembayaran parking secara digital ini lambat laun akan digunakan secara menyeluruh dan ia mengikut perkembangan semasa," katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan, warga Ipoh digalakkan untuk memuat turun aplikasi Park@Perak sebagai persediaan pendigitalan sepenuhnya caj pembayaran tempat letak kereta mulai tahun 2024.
Rumaizi dilaporkan berkata MBI dalam fasa pendigitalan sepenuhnya daripada segi operasi dan pembayaran caj tempat letak kereta.
Antara kelebihan penggunaan aplikasi ini ialah, salah satu alternatif pembayaran caj letak kereta melalui telefon pintar, mudah dan jimat masa, boleh digunakan di seluruh Perak.
Masa operasi dan kadar caj letak kereta mengikut pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing dan mesra pengguna kerana pembayaran caj letak kereta hanya menggunakan telefon pintar di tangan anda.
#Majlis Bandaraya Ipoh #Park Perak #Rumaizi Baharin #aplikasi pintar letak kereta negeri Perak
;