Aplikasi myPTPTN: Tawar kemudahan dalam satu sistem kepada pelanggan

Ehsan A Marisah
Mac 30, 2022 13:10 MYT
Aplikasi myPTPTN merupakan penanda aras membuktikan kesungguhan PTPTN dalam menjayakan agenda pendigitalan yang dihasratkan kerajaan. - Foto PTPTN
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada Selasa melancarkan aplikasi mudah alih myPTPTN membolehkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan PTPTN di bawah satu sistem secara dalam talian dengan lebih mudah, cepat dan selamat.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, myPTPTN bakal memanfaatkan lebih 3.63 juta peminjam dan 5.28 juta pendeposit Simpan SSPN dengan pelbagai kelebihan ditawarkan.
“Jika sebelum ini pelanggan perlu masuk ke portal berbeza untuk mendapatkan perkhidmatan, kini pelanggan dapat menikmati pelbagai kemudahan berkaitan bayaran balik pinjaman PTPTN dan simpanan dalam satu aplikasi secara Single Sign-On (SSO).
“Selain itu, antara kemudahan disediakan di myPTPTN adalah semakan penyata pinjaman, bayaran balik pinjaman, semakan penyata Simpan SSPN, pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN serta pemotongan gaji dan debit terus bagi bayaran balik pinjaman dan Simpan SSPN,” katanya pada Majlis Pelancaran Mobile App PTPTN di Mutiara Grand Ballroom Hotel Royale Chulan Damansara.
Dalam pada itu, tambah Noraini, aplikasi itu turut dilengkapi teknologi keselamatan terkini bagi memastikan keselamatan pengguna.
“Setiap pengguna memerlukan pegesahan identiti secara elektronik sebelum membuat sebarang urus niaga termasuk dengan cara pengesahan e-mel dan nombor telefon semasa pendaftaran serta transaksi disahkan dengan menggunakan Kod Pengesahan Transaksi (TAC).
“Oleh itu, para pengguna tidak perlu bimbang untuk menggunakan kemudahan dalam myPTPTN. Segala transaksi adalah mudah, selamat dan terjamin,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, aplikasi itu dibangunkan bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun PTPTN di samping menjadi penanda aras membuktikan kesungguhan perbadanan itu memperkasa pendidikan tinggi serta menjayakan agenda pendigitalan negara.
Mobile app myPTPTN merupakan inisiatif utama PTPTN sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN.
“Pembangunan aplikasi mudah alih ini adalah untuk memastikan PTPTN berada setanding dengan institusi kewangan yang lain di pasaran dalam penyediaan kemudahan digital terkini,” katanya.
Inisiatif pendigitalan PTPTN terkandung dalam Teras ke-5 Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 membolehkan pelanggan dapat menikmati perkhidmatan dengan mudah dan cepat, hanya di hujung jari.
#myPTPTN #PTPTN #noraini ahmad #Ahmad Dasuki
;