Aplikasi MYJalan terima semua aduan tanpa mengira bidang kuasa seliaan - Menteri

Irfan Faruqi
Ogos 22, 2023 21:35 MYT
Nanta Linggi berkata kerajaan bertekad tekaduntuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna dengan melaksanakan 'no wrong door policy' - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Aplikasi MYJalan yang diperkenal oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak akan menolak sebarang aduan berkaitan kerosakan jalan raya di seluruh negara, termasuk jalan raya dibawah seliaan kerajaan negeri dan sebagainya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini merupakan sebahagian tekad kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna dengan melaksanakan 'no wrong door policy'.
"Apabila seseorang mengadu dia masuk saluran aduan kempen MYJalan ini ada sistem dan aplikasi yang dibina. Sekarang sudah boleh digunakan sejak seminggu lalu.
"Jadi, apabila aduan dibuat melalui pusat sehenti yang menguatkuasakan 'no wrong door policy', walaupun jalan yang dimaksudkan dalam aduan itu bukan jalan persekutuan dan bukan di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi jalan negeri, kita tidak akan tolak aduan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Aplikasi MYJalan terima semua aduan tanpa mengira bidangkuasa seliaan - Menteri
Nanta Linggi menjelaskan sekiranya pihak KKR menerima laporan mengenai jalan yang bukan di bawah seliannya kementerian tersebut, laporan berkenaan akan disalurkan kepada pihak berkuasa berkaitan dan tindakan akan diambil untuk meratifikasi isu berbangkit.
KKR bakal melaksanakan kempen MYJalan yang merupakan kempen jangka panjang. Kempen ini akan melibatkan beberapa fasa perlaksanaan dan pelancarannya akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim pada 24 Ogos 2023 di Jeti Tasik Awam Tasik Banding, Perak.
#Agenda Awani #Alexander Nanta Linggi #Jabatan Kerja Raya #Kementerian Kerja Raya #aplikasi MYJalan
;