Aplikasi MYJalan mudahkan aduan jalan rosak

Bernama
Ogos 22, 2023 14:35 MYT
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kempen MYJalan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khamis ini.
KUALA LUMPUR: Aplikasi MYJalan yang merangkumi sistem aduan bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya dapat dibaik pulih, sudah boleh digunakan sejak minggu lepas.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kempen MYJalan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khamis ini.
"Kempen MYJalan akan dilancarkan pada Khamis ini dan aplikasi MYJalan sudah ada dan boleh digunakan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) 2023 di Menara MATRADE di sini hari ini.
Aplikasi itu ialah sebuah platform aduan setempat bagi memudahkan pengguna membuat aduan dan semua jenis aduan jalan akan diterima walaupun yang bukan diselenggara Kementerian Kerja Raya.
Terdahulu pada majlis pelancaran itu, Nanta menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani oleh BEM bersama beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) dengan tujuan memastikan siswazah bidang kejuruteraan dapat terus berdaftar di bawah BEM setelah menamatkan pengajian.
"Beberapa MoU ditandatangani bersama institusi pengajian tinggi dan graduannya berpeluang untuk berdaftar serta-merta sebagai jurutera yang berdaftar kerana selalunya walaupun mereka sudah menamatkan pengajian akan mengambil masa bertahun untuk daftar.
"Dan kita tidak mahu mereka ini menjadi jurutera tanpa berdaftar. Itu tidak betul dari segi akta kita. Saya mengalu-alukan langkah ini yang sangat proaktif dan dapat membantu graduan," katanya.
Antara universiti yang terlibat ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM), Heriot-Watt University Malaysia, Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), Multimedia University (MMU), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Semua siswazah kejuruteraan akan dibantu oleh IPT masing-masing dalam proses pendaftaran di bawah BEM. Sejak lima tahun lepas, BEM telah mendaftarkan lebih kurang 14,000 siswazah dalam bidang berkenaan setiap tahun.
Sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) BEM, semua universiti yang menandatangani MoU bersama BEM akan menerima sumbangan sebanyak RM10,000 setiap universiti untuk tempoh lima tahun bagi tujuan dianugerahkan kepada graduan kejuruteraan yang cemerlang pada majlis konvokesyen mereka dan anugerah itu dinamakan "BEM PRESIDENT AWARD".
-- BERNAMA
#Alexander Nanta Linggi #Kementerian Kerja Raya #MYJalan #aduan jalan rosak
;