Aplikasi Mudah Alih Nasional akan diwujudkan - MCMC
Bernama
September 17, 2021 12:22 MYT
September 17, 2021 12:22 MYT
PUTRAJAYA: Aplikasi Mudah Alih Nasional yang membolehkan pelbagai perkhidmatan digital diakses akan diwujudkan, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan cadangan pelaksanaan platform tersebut telah dipersetujui secara prinsip oleh kerajaan menerusi Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri Keempat Negara (MED4IR) pada 22 April lepas.
Platform berkenaan yang membolehkan pengguna merasai pengalaman digital yang lancar akan menjadi pusat sehenti setempat untuk pengurusan keperluan pengguna melalui sebuah aplikasi yang menawarkan kemudahan penggunaan, kepelbagaian fungsi, ciri dinamik dan kepelbagaian perkhidmatan digital.
"Aktiviti seperti mengakses perkhidmatan digital kerajaan, perkhidmatan swasta terpilih, pembayaran bil, saman trafik, pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan, pendaftaran kelahiran, perkahwinan dan banyak lagi boleh dilaksanakan tanpa perlu berulang-alik ke lokasi," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, MCMC mempelawa orang ramai menyertai soal selidik penggunaan Aplikasi Mudah Alih Nasional bagi mendapatkan pandangan berhubung perkhidmatan digital yang perlu dan ingin digunakan menerusi platform aplikasi berkenaan.
Soal selidik berkenaan dikendalikan secara dalam talian bagi tempoh tiga minggu bermula 15 September hingga 6 Oktober ini.
Mereka yang ingin menyertai soal selidik terbabit boleh melayari pautan http://bit.ly/AppNasional.
Menurut MCMC, objektif utama soal selidik itu adalah untuk mengenal pasti keperluan rakyat merentasi pelbagai latar belakang dalam menyokong perancangan dan pembangunan Aplikasi Mudah Alih Nasional serta memperkenalkan konsep aplikasi itu dan senario potensi penggunaannya di negara ini.
Ia juga bagi mendapatkan pandangan dan input bagi potensi penggunaan Aplikasi Mudah Alih Nasional merentasi sektor awam dan swasta serta menilai penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat yang perlu dipertingkat melalui aplikasi berkenaan.
"Kesemua maklum balas yang diberikan menerusi soal selidik ini akan diambil kira dalam pembangunan platform Aplikasi Mudah Alih Nasional yang sedang dirancang oleh kerajaan ketika ini," menurut MCMC.
-- BERNAMA