Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang Datuk Cheok Lay Leng berkata aplikasi itu direka khas untuk membantu pengguna menempuh pelbagai laluan mendaki yang terkenal, dengan menyediakan teknologi sistem pemantauan dan penjejakan lokasi masa nyata.
Beliau berkata pada masa ini, aplikasi itu merangkumi 10 laluan popular yang terdiri daripada enam laluan dari Air Itam, tiga laluan dari Taman Botani Pulau Pinang dan satu laluan dari Teluk Bahang, yang semuanya menuju ke Bukit Bendera.
"Aplikasi ini juga dibangunkan dengan mengambil kira faktor keselamatan. Kami tahu bahawa berada di luar, di tengah-tengah alam semula jadi memerlukan pengetahuan tentang persekitaran anda, dan sebab itu kami menyertakan kemas kini cuaca secara langsung yang disesuaikan khusus untuk kawasan Bukit Bendera.
"Kita mahu para pendaki bersedia untuk menghadapi sebarang perubahan cuaca, memastikan mereka boleh membuat keputusan yang tepat untuk keselamatan mereka. Selain kemas kini cuaca, aplikasi itu juga akan menyediakan maklumat mengenai lokasi peranti defibrilator luaran automatik (AED), bagi memastikan bantuan mudah diakses sekiranya diperlukan," katanya semasa melancarkan aplikasi berkenaan, di sini hari ini.
Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai.
Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun di Google Play Store dan iOS App Store, selain tersedia di Huawei AppGallery tidak lama lagi.
-- BERNAMA