Aplikasi 'Maslan 3.85' melampau dan keterlaluan - Puteri UMNO

Astro Awani
Mei 14, 2015 06:56 MYT
Pembikin aplikasi 'Maslan 3.85' dianggap suatu tindakan biadab dan keterlaluan oleh Puteri UMNO - Gambar fail
Aplikasi permainan telefon pintar menggunakan nama ayah kepada Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Ahmad Maslan serta wajah kartun beliau merupakan suatu tindakan biadab dan keterlaluan.
Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO‎ Haryaty Hamdzah berkata, perkara itu dikhuatiri akan berterusan dan menjadi fenomena baharu untuk mengaibkan pemimpin-pemimpin negara jika tidak dibendung segera.
"Tindakan sebegini tidak sewajarnya berlaku tambahan pula ia mengaitkan orang yang telah meninggal dunia dan tiada kaitan dengan politik semasa.
"Ketidakpuasan hati mana-mana pihak seharusnya dinyatakan dengan cara yang lebih baik kerana pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya sentiasa terbuka untuk ditegur dan menerima pandangan serta cadangan orang ramai.
"Dalam negara Malaysia yang majmuk sebegini, sikap hormat menghormati sesama kaum, agama dan budaya harus lebih diutamakan bagi mengelakkan ketegangan di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
BACA: "Apa salah arwah ayah saya sehingga dihina sebegini?" - Ahmad Maslan
Pada Isnin, Ahmad meluahkan rasa sedihnya kerana mendapati ada aplikasi permainan telefon pintar Android "Maslan 3.85 Extended Version" yang mempersendakan nama arwah ayahnya.
Jelas Ahmad, ayahnya hanyalah seorang penoreh getah, buta huruf selain pelaku itu dilihat satu penghinaan kepada arwah ayahnya.
Dalam pada itu Haryaty turut menggesa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat pencipta aplikasi ini dan mengambil tindakan sewajarnya yang termaktub di dalam akta sedia ada.
"Perbuatan ini harus segera dihentikan sebelum lebih banyak pemimpin negara menjadi paparan utama aplikasi permainan seumpama ini.
"Bayangkan apa pula akan terjadi sekiranya pemimpin pihak berkenaan dijadikan paparan utama sebuah permainan di telefon pintar sekali gus menjadi bahan jenaka oleh rakyat," ujarnya.
Katanya lagi, peranan Ahmad di dalam memberi penjelasan mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat adalah satu peranan besar selain meminta masyarakat melihat maklumat yang diberi dari aspek positif.
"Ia bukan untuk dilencongkan dengan menghina pemimpin berkenaan melalui aplikasi permainan yang tidak berfaedah.
"Pihak berkenaan juga seolah ketandusan idea dengan serangan sebegini tanpa jawapan atau fakta untuk menafikan hujah Datuk Ahmad Maslan yang didakwa mereka tidak benar.
"Saya menggesa rakyat negara ini terutamanya orang muda untuk turut sama menyelar tindakan ini selain tidak memuat turun aplikasi yang hanya menyebabkan nilai-nilai murni seorang individu terhakis," ujarnya.
#Ahmad Maslan #aplikasi #Maslan 3.85 #Puteri UMNO #UMNO
;