Aplikasi kumpul data, kesan kawasan panas gangguan seksual
Bernama
Jun 16, 2023 10:15 MYT
Jun 16, 2023 10:15 MYT
KUALA LUMPUR: Setiap hari Ros (bukan nama sebenar) menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, tetapi pada satu hari beliau mengalami pengalaman menjijikkan apabila seorang lelaki bertindak di luar dugaan dengan menunjukkan alat sulitnya ketika berjalan ke stesen tren.
Walaupun trauma dengan kejadian itu, Ros mengakui takut dan malu untuk bercerita dan mengadu kepada sesiapa hal berkenaan selain berasa tidak selamat untuk berjalan ke tempat sama yang menjadi rutinnya selama ini.
Perkara ini merupakan antara contoh gangguan seksual yang dialami ribuan mangsa, namun mungkin dipandang enteng menyebabkan kejadian itu berulang kepada mangsa baharu.
Rentetan itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sisterhood Alliance memperkenalkan aplikasi Safecity yang dibangunkan di India bertujuan menjadi platform mangsa kejadian seumpama ini untuk "bersuara" tanpa gusar.
Presiden NGO itu Radziah Razi berkata menerusi aplikasi berkenaan, masyarakat dapat berkongsi pengalaman sama ada menjadi sasaran atau menyaksikan kejadian berkaitan gangguan atau serangan seksual serta menanda (pin point) lokasi kejadian.
Radziah berkata data itu akan digunakan sebagai kajian untuk mengenal pasti trend gangguan seksual yang dialami mangsa dalam usaha menjadikan kawasan berkenaan lebih selamat pada masa depan.
"Dengan pin point lokasi kejadian, kami dapat mengenal pasti hotspot (lokasi panas) dan mengumpul data berkenaan kejadian dan seterusnya berhubung dengan pihak berkaitan untuk mencari penyelesaian.
"Misalnya jika kita buat aduan di lokasi sama, dan antara punca ialah jalan yang gelap, jadi kita akan behubung dengan PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk menambah lampu jalan," katanya.
Menyedari sikap ramai mangsa yang enggan membuat laporan kepada pihak berkuasa dek pelbagai faktor termasuk kerenah birokrasi, Radziah berkata aplikasi ini menjadi tempat untuk berkongsi cerita yang sekali gus mengumpul dan menyalur maklumat.
"Terdapat pelbagai jenis gangguan seksual, jika seseorang merenung mangsa dari atas ke bawah dan membuat seseorang individu tidak selesa juga sudah dikira sebagai gangguan seksual.
METRO-APLIKASI (GANGGUAN SEKSUAL) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
"Bagi kes seperti itu biasanya orang tak mahu sampai buat laporan, tetapi ia tetap memberi kesan kepada emosi mangsa," katanya sambil menambah bahawa aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma.
Katanya, platform itu juga diharap dapat menjadi tempat perkongsian supaya mangsa tidak rasa keseorangan untuk mengatasi trauma selain mencegah kejadian gangguan seksual dengan mengingatkan masyarakat tanpa mengira jantina untuk sentiasa berwaspada.
Radziah berkata pihaknya juga telah melaksanakan projek kesedaran gangguan seksual antaranya dengan memperkenalkan kegunaan aplikasi itu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara bermula 29 Nov 2021 hingga 14 Mei 2022 bertujuan mengumpulkan sekurang-kurangnya 50 kisah gangguan seksual oleh peserta, meningkatkan kepimpinan dan mengurangkan data gangguan seksual.
Beliau berkata NGO berkenaan menyasarkan untuk mengumpul 500 kisah tentang situasi itu dalam usaha mendapatkan data bagi membantu masyarakat menangani masalah sosial itu menerusi pelbagai program libat urus.
"Sejak diperkenalkan di Malaysia pada 2018, kami hanya dapat mengumpul 150 cerita, jadi kami harap lebih ramai yang akan menyedari kewujudan dan kegunaan aplikasi ini," katanya.
-- BERNAMA