Aplikasi KPM eTextbook Reader ditambah baik

Bernama
Januari 29, 2021 21:46 MYT
Kementerian Pendidikan berkata aplikasi ini dapat membantu pelajar memudahkan muat turun buku teks digital melalui penyediaan piawaian fail EPUB yang lebih ringan dan serasi dengan peranti mudah alih jika dibandingkan dengan fail PDF. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Perbadanan Kota Buku, agensi Kementerian Pendidikan (KPM), telah membuat penambahan buku teks digital Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil dalam aplikasi KPM eTextbook Reader yang diperkenalkan 13 Jan lalu.
Kementerian Pendidikan berkata aplikasi tersebut dapat membantu pelajar memudahkan muat turun buku teks digital melalui penyediaan piawaian fail EPUB (pendek untuk penerbitan elektronik) yang lebih ringan dan serasi dengan peranti mudah alih jika dibandingkan dengan fail PDF (format dokumen mudah alih).
Pada masa yang sama, pelajar boleh membuat nota, menanda bahagian penting sama seperti menggunakan buku teks cetak dan juga mendapatkan rujukan tambahan melalui aplikasi tersebut.
"Dengan adanya aplikasi ini, pelajar dapat mengakses buku teks digital menggunakan telefon pintar dan tablet pada bila-bila masa di luar sekolah dan di rumah, tanpa capaian Internet setelah ia dimuat turun.
Aplikasi KPM eTextBook Reader juga boleh menjadi penyelesaian masalah beg sekolah berat, kos cetak buku teks dan membantu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," kata KPM dalam kenyataan hari ini.
Aplikasi KPM eTextbook Reader yang diperkenalkan pada 13 Jan lalu bagi memudahkan murid memperoleh buku teks secara digital telah menerima lebih sejuta muat turun dengan purata 15 terabait (TB) saiz fail sehari.
KPM eTextBook Reader boleh didapati secara percuma melalui laman web https://textbook.moe.gov.my dan ikut arahan seterusnya untuk pendaftaran atau boleh muat turun terus melalui Google Play Store atau Apple App Store dengan carian KPM eTextbook Reader.
-- BERNAMA
#eTextbook Reader #Kementerian Pendidikan #KPM #Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah #PdPR #Sekolah Jenis Kebangsaan #Sekolah Rendah Kebangsaan #EPUB #pelajar #buku teks digital
;