Aplikasi Jejak Johor bantu kesan kontak, cegah penularan COVID-19

Bernama
Mei 21, 2020 05:53 MYT
Aplikasi Jejak Johor JKNJ memperoleh rekod kontak pengguna dan memaklumkan kepada mereka dengan segera jika berisiko jangkitan COVID-19. -Bernama
Kerajaan negeri Johor mengambil inisiatif dalam mencegah penularan COVID-19 dengan melancarkan aplikasi 'Jejak Johor' bagi membantu pengesanan kontak.
Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata aplikasi Jejak Johor membolehkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) memperoleh rekod kontak pengguna dan memaklumkan kepada mereka dengan kadar segera sekiranya terdapat risiko jangkitan COVID-19.
Katanya, aplikasi yang dibangunkan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu menggunakan gabungan teknologi pengecaman dan platform analisis data Iskandar Malaysia Urban Observatory COVID-19 Crisis (IMUOCC).
Aplikasi itu menggunakan gelombang 'bluetooth' telefon pintar untuk mengenal pasti kontak antara pengguna aplikasi dalam jarak satu meter.
Beliau berkata pelancaran aplikasi berkenaan sejajar dengan pengumuman kerajaan kini yang membenarkan lebih banyak sektor kerajaan dan swasta beroperasi menyebabkan lebih ramai mula bekerja atau berurusan di luar.
"Justeru, adalah penting untuk kita bukan sahaja terus memantau penularan COVID-19, malah perlu mengambil langkah lebih proaktif dengan membuat analisis bagi pengecaman awal penularan di kawasan atau kluster tertentu dalam masa terdekat ini," katanya.
Hasni berkata pengguna hanya akan dikenali menerusi satu identiti atau ID unik, selain hanya nombor telefon berdaftar pengguna disimpan dalam aplikasi berkenaan supaya mudah dihubungi oleh JKNJ untuk penghantaran notifikasi.
Malah menurutnya, hanya JKNJ dan Jawantankuasa Khas Keselamatan Negeri Johor sahaja yang boleh menggunakan platform itu untuk menganalisis data pesakit positif, kontak rapat dan pesakit dalam siasatan COVID-19, untuk membolehkan kerajaan mengambil langkah segera menangani wabak tersebut.
"Sistem ini juga akan menghasilkan analisis kaitan antara pesakit positif, kontak rapat dan pesakit dalam siasatan COVID-19 untuk mengenal pasti kluster jangkitan.
"Dengan mengenal pasti hubung kait antara mereka, pihak berkuasa akan dapat menjangkakan kawasan yang berpotensi untuk menjadi sasaran penularan seterusnya, sekali gus boleh mengambil tindakan pencegahan awal yang sewajarnya," katanya.
Aplikasi itu boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan bagi Apple Store pula boleh dimuat turun dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
#Apple #COVID-19 #Google #IRDA #Jejak Johor #kerajaan negeri Johor #koronavirus #Menteri Besar #pengesanan kontak #Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar #telefon pintar #UNDP
;