Aplikasi e-SRM atasi produktiviti rendah pekebun kecil
Bernama
April 12, 2022 05:30 MYT
April 12, 2022 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Aplikasi Sistem Smallholders Rubber Market (e-SRM) akan diperkenalkan bagi mengatasi produktiviti rendah dalam kalangan pekebun kecil getah di seluruh negara.
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata aplikasi ini bakal menyelaras semula proses kerja di lapangan dan memastikan pengurusan dan pemantauan kebun getah matang dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan dalam masa nyata.
"Aplikasi tersebut juga menyediakan pilihan kepada pemilik kebun untuk mendapatkan khidmat tenaga kerja yang dikenali sebagai Grab Rubber bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pengeluaran hasil bagi kebun getah matang sehingga ke pembangunan tanam semula.
"Melalui aplikasi ini, isu kekurangan penoreh yang menjadi faktor kebun tidak produktif dapat ditangani serta mewujudkan peluang pekerjaan dalam kalangan anak tempatan," katanya kepada media di Majlis Iftar RISDA di sini semalam.
Katanya, menurut rekod anggaran keluasan getah matang negara yang tidak bertoreh adalah seluas 409,172 hektar.
Beliau berkata mulai Rancangan Malaysia Ke-12, RISDA telah menyalurkan bantuan bagi tujuan peningkatan produktiviti berjumlah lebih RM432 juta menerusi Program Skim Getah Matang dan Khidmat Infrastruktur Pemasaran (KIP).
"Hasilnya pada 2021, RISDA mencapai produktiviti pekebun kecil kepada 1,573 kilogram perhektar setahun iaitu 98 peratus berbanding indeks prestasi utama (KPI) pada 1,600 kilogram.
"Bagi harga getah di peringkat ladang, ia mencapai RM554.39 berbanding KPI RM560.67 iaitu 81.5 peratus dari harga Getah Mutu Malaysia (SMR) 20," katanya lagi.
Mohd Salim berkata RISDA turut menyasarkan seramai 1,060 pekebun kecil dengan keluasan 2,014 hektar kebun diberi bantuan melalui Skim Insentif Lateks, tahun ini.
"Ini menerusi sasaran peningkatan pandapatan sebanyak 30 peratus berbanding getah sekerap.
"Skim ini bagi memberi galakan kepada pekebun kecil untuk menghasilkan lateks berbanding getah sekerap, yang melibatkan pemberian bantuan berbentuk input pertanian dan bayaran Insentif Harga Lateks sebanyak RM1 sekilogram kepada pekebun kecil yang menjual lateks di Depo Lateks RISDA," tambahnya.
Pada majlis itu RISDA turut menyampaikan sumbangan zakat kepada enam institusi keagamaan yang masing-masing menerima sebanyak RM2,000.
---BERNAMA