Aplikasi dan teknologi tidak digunakan sepenuhnya untuk CAC - Penyelidik

Astro Awani
Julai 15, 2021 16:15 MYT
Profesor Madya Shamsul Arieya berkata, penggunaan terma di beberapa laman sesawang pengendalian kendiri terlalu teknikal dan perlu dipermudahkan serta lebih mesra pengguna. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menggunakan sepenuhnya aplikasi serta teknologi untuk dalam isu kesesakan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), akhir-akhir ini.
Ketua Penyelidik Pengujian Kebolehgunaan Pendidikan Pusat Kecemerlangan Industri Kreatif Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Shamsul Arrieya Ariffin berkata, ia termasuk menaik taraf aplikasi MySejahtera seperti yang dilakukan dalam proses pengambilan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Jelasnya, ia juga terpakai untuk mengawal pergerakan individu yang memakai gelang merah jambu.
"Apa kata jika MySejahtera itu diintegrasikan dengan kod QR MySejahtera, jika individu berkenaan masuk dan imbas, terus akan kenal pasti dia ada COVID-19 dan laporan akan terus ke polis serta MySejahtera, mereka tidak akan culas dalam isu ini.
Menurutnya lagi, ada individu-individu yang memakai gelang merah jambu tidak menyedari yang mereka adalah faktor penyebaran COVID-19.
Apabila ini dikenal pasti, laporan (dari aplikasi QR MySejahtera) dan maklumat akan disampaikan, individu-individu berkenaan akan dikenal pasti dan dipanggil dan sekali gus dapat menghalang penyebaran penyakit itu, tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang maya yang berlangsung pada Khamis.
BACA: CAC Dewan Sukan Klang, Stadium Malawati lebih 'tenang' hari ini
BACA: Garis panduan pengambilan air liur persampelan bakal dimuktamadkan - Dr Noor Hisham
Sebelum ini, tular gambar serta rakaman video memaparkan keadaan sesak ribuan orang beratur panjang di CAC Dewan Sukan Klang dan Stadium Malawati, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
Penyebaran gambar dan video disertai pelbagai kapsyen itu menggambarkan keadaan sangat serius, sehingga ada yang menyifatkannya sebagai 'medan perang', mencetus kebimbangan orang ramai.
Dalam pada itu kata Profesor Madya Shamsul Arrieya, penggunaan terma di beberapa laman sesawang pengendalian kendiri terlalu teknikal dan perlu dipermudahkan dan lebih mesra pengguna.
Jelasnya, orang awam perlu mudah faham dalam prosedur penyebaran maklumat berkenaan isu kesihatan dalam setiap portal berkenaan. Penggunaan kit pengambilan air liur persampelan perlu diperkasakan supaya orang ramai boleh membuat ujian pandemik di rumah.
Ujarnya, ia sekali gus akan mengurangkan kesesakan dan kerumitan di CAC.
"Kit pengambilan air liur persampelan ini juga sesuai, ujian sudah dibuat dan mendapat kelulusan. Ia mempunyai ketepatan 96 peratus, jadi orang ramai tidak perlu berpusu-pusu ke CAC dan menambah kesesakan.
"Jadi, pengedaran itu perlu dipercepatkan ke seluruh negara, proses birokrasi perlu dikurangkan supaya orang ramai boleh mendapat akses dan garis panduan betul, jelas dan tepat perlu ada," katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kaedah penggunaan RTK-Antigen menggunakan air liur boleh dilaksanakan pesakit itu sendiri.
Ujarnya, langkah itu dapat meningkatkan saringan di lapangan sekali gus kemungkinan kes positif COVID-19 dapat dikesan dengan lebih baik.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Mac lalu turut memaklumkan, penilaian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati kaedah persampelan air liur memberi keputusan 100 peratus ketepatan dan 96.67 peratus untuk sensitiviti.
Naik taraf MySejahtera untuk CAC
Tambah baik garis panduan telekesihatan
Kerjasama KKM, MOSTI integrasi MySejahtera
#COVID-19 #PPV #MySejahtera #vaksin #kes positif #CAC #Noor Hisham Abdullah #Dr Adham Baba #Institut Penyelidikan Perubatan #IMR
;