Aplikasi CleanMyCity terima aduan sampah, jalan berlubang di Selangor
Astro Awani
Januari 7, 2015 12:53 MYT
Januari 7, 2015 12:53 MYT
Bermula Jumaat ini, penduduk Selangor tidak perlu lagi risau apabila melihat sampah dibuang di tempat yang tidak sepatutnya atau jalan berlubang.
Ia berikutan aplikasi CleanMyCity yang akan dilancarkan sekali gus menjadi platform rakyat Selangor untuk 'mengadu' mengenai sebarang kelemahan yang mereka lihat mengenai tanggungjawab majlis perbandaran masing-masing.
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali di dalam catatan Twitter terbaharunya memberitahu aplikasi ini dibuat khas untuk rakyat negeri itu membuat aduan mengenai isu berkaitan.
Aplikasi itu dikatakan akan memudahkan rakyat Selangor untuk menghantar gambar individu yang membuang sampah secara haram, jalan berlubang, pokok tumbang dan masalah lain di kawasan bandar.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menjadi perintis aplikasi CleanMyCity dalam usaha mengukuhkan peranan orang awam sebagai pihak berkepentingan dalam membentuk polisi perbandaran dan kerajaan.
Ia merupakan insiatif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) yang bekerjasama dengan MBPJ dan kerajaan negeri Selangor.
Ketua C4 Cynthia Gabriel di dalam portal themalaysianinsider dipetik berkata, aplikasi itu akan memaparkan papan notis awam untuk menghantar aduan tempat pembuangan sampah haram, jalan berlubang, banjir kilat dan pokok tumbang.
Turut disediakan ialah modul tangkap si pelaku di mana penduduk boleh merakamkan gambar dan memuat naik foto kontraktor yang membuang sampah atau sisa pembinaan secara haram.
Aduan dan berapa lama masa diambil untuk menyelesaikan masalah itu boleh dijejaki, sementara masalah bertangguh akan dibawa ahli majlis ke dalam mesyuarat bersama pegawai MBPJ.
"Aduan sepatutnya diselesaikan dalam tempoh 48 jam. Itu janjinya. Jadi bagi masalah yang masih bertangguh boleh digunakan sebagai bukti bila kita bertemu pegawai," katanya.
Gabriel berkata MBPJ dan C4 masih berbincang dan memikirkan cara mengintegrasikan aduan CleanMyCity dengan sistem aduan online MBPJ iaitu e-aduan.
Sasaran utama ialah alat itu boleh digunakan orang awam sebagai pihak berkepentingan utama dalam membentuk dan mempengaruhi polisi kerajaan, kata Gabriel yang juga ahli majlis MBPJ.
"Bila orang awam adalah pihak berkepentingan utama mereka boleh mencadangkan polisi dan bagaimana menggunakan bajet MBPJ," katanya.
Sebagai contoh jelas Gabriel, tapak pembuangan sampah haram boleh ditukar menjadi taman atau kawasan hijau supaya orang ramai menggunakannya dan menghalang kontraktor berulang membuang sampah di situ.
Gabriel berkata, pegawai majlis bandaraya itu menerima insiatif berkenaan dan berminat dengan modul tangkap si pelaku kerana Petaling Jaya berdepan dengan masalah penguatkuasaan terhadap pembuangan sampah haram.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Ean Yong Hian Wah dijangka merasmikan aplikasi itu Jumaat ini.
"Petaling Jaya adalah projek perintis tetapi kerajaan negeri sedang mengkaji keberkesanannya kerana ia mahu melaksanakan sistem itu di semua 12 majlis perbandaran.
"Semua orang ada telefon pintar sekarang, kami mahu mereka menggunakannya untuk sesuatu kebaikan dan berhubung dengan kerajaan," katanya.
Sebelum ini, Azmin dilaporkan memberikan nombor telefonnya di media sosial jika penduduk tempatan melihat sampah yang belum dikutip.
"Kalau kamu nampak ada sampah belum kutip, kamu ‘text’ saya… Saya mahu Selangor bersih," kata Azmin menerusi Twitternya.