Aplikasi baharu AirAsia jamin pengalaman penerbangan lebih selesa
Malik Ridhwan
November 19, 2015 13:20 MYT
November 19, 2015 13:20 MYT
Penumpang AirAsia kini boleh menikmati pengalaman penerbangan yang lebih lancar dengan aplikasi mudah alih terbaharu AirAsia.
Aplikasi tersebut menawarkan ciri-ciri baru yang inovatif, fungsi yang lebih lancar dan paparan pengguna yang lebih menarik bagi keselesaan semasa membuat tempahan atas talian menggunakan telefon mudah alih.
Aplikasi yang dicalonkan sebagai Aplikasi Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di World Travel Awards yang akan datang turut boleh didapati dalam 11 bahasa.
Versi terbaharu ini juga mempunyai ciri 'tambah ke kalendar' di mana secara automatik, tempahan penerbangan akan dimasukkan ke kalendar telefon pintar sebagai peringatan untuk pengguna.
Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Siegtraund Teh berkata, syarikat penerbangan itu sentiasa melakukan pembaharuan dan inovasi untuk menjadikan pengalaman penerbangan penumpang lebih menyeronokkan.
"Aplikasi terbaru kami menawarkan semua perkhidmatan yang diperlukan di hujung jari mereka. Terdapat lebih sembilan juta muat turun aplikasi mudah alih AirAsia di kedua-dua platform iOS dan Android,” kata Teh.
Selain tempahan, penumpang juga boleh menyemak status penerbangan, membuat daftar masuk dan mendapatkan e-boarding pass melalui aplikasi tersebut.
11 bahasa yang disediakan termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia, Bahasa Cina Tradisional (Taiwan & Hong Kong), Bahasa Cina (China), Thai, Korea, Jepun, Vietnam dan Arab.
Aplikasi ini bakal menawarkan ciri-ciri baharu yang inovatif, fungsi yang lebih lancar untuk keselesaan semasa membuat tempahan dengan menggunakan telefon mudah alih. - Sumber foto: AirAsia
AirAsia merupakan syarikat penerbangan tambang rendah pertama di rantau ini untuk membangunkan aplikasi sendiri sejak 2010.
Syarikat itu sentiasa berada di barisan hadapan dalam pelaksanaan teknologi di rantau ini seperti tempahan internet dan daftar masuk melalui secara dalam talian menggunakan telefon mudah alih dan di kiosk.