Aplikasi AI bantu pegawai kehakiman buat keputusan
Bernama
Januari 17, 2020 04:51 MYT
Januari 17, 2020 04:51 MYT
Badan kehakiman Sabah dan Sarawak mengambil langkah pertama dalam mengguna pakai kecerdasan buatan (AI) dengan menggunakan mesin untuk membantu pegawai kehakiman menentukan hukuman yang sesuai bagi kesalahan jenayah tertentu.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri David Wong Dak Wah berkata selaras dengan tema 'Justice and Beyond' untuk tahun perundangan ini, mereka akan melancarkan tiga aplikasi baharu, iaitu AI untuk menjatuhi hukuman, aplikasi untuk litigan mewakili diri sendiri dan laman web media sosial untuk mahkamah di Sabah dan Sarawak.
"Penggunaan mesin AI hanya akan bertindak sebagai panduan kepada pegawai kehakiman dalam membuat keputusan mereka.
"Kami menyedari bahawa penggunaan AI tidak melanggar peraturan undang-undang," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2020 di sini pada Jumaat.
Wong berkata profesion perundangan tidak boleh mengetepikan kemunculan AI memandangkan mesin yang boleh menjangkakan hasil pertikaian sudah wujud.
"Apa yang mereka (pegawai kehakiman) lakukan ialah memasukkan semua penghakiman (sebelum ini) ke dalam aplikasi yang mempunyai semua formula untuk memahami dan mendiagnosis pertikaian itu dan kemudian menyediakan penyelesaian kepada pertikaian tersebut.
"Ini sudah dilakukan di Amerika Syarikat dan Australia di mana para pengamal menggunakan mesin AI ini sebagai alat untuk merundingkan penyelesaian sebelum ke peringkat litigasi," katanya.
Wong berkata aplikasi itu kini di peringkat ujian perintis dan dijangka beroperasi menjelang akhir bulan ini.
-- BERNAMA
#aplikasi
#Badan Kehakiman
#David Wong Dak Wah
#diagnosis pertikaian
#kecerdasan buatan
#kesalahan jenayah
#litigasi
#menentukan hukuman
#mesin AI
#penghakiman
#penyelesaian
#Peraturan
#profesion perundangan
#Sabah
#Sarawak
#ujian perintis
#undang-undang