Api belukar 'terbang' sambar bumbung rumah
Adie Sufian Zulkefli
Mac 9, 2021 21:51 MYT
Mac 9, 2021 21:51 MYT
ALOR SETAR: Bara api daripada kebakaran belukar yang terbang ditiup angin mengakibatkan bumbung sebuah rumah berhampiran Masjid Kampung Gerigis dekat Alor Setar terbakar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 1.25 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Ahmad Nozlan Zakaria tiba di lokasi jam 1.40 petang.
"Sebaik tiba di lokasi, rumah satu tingkat itu terbakar di bahagian bumbung. Bagaimanapun anggota kami berjaya mengawal kebakaran dari terus merebak dan api berjaya dikawal pada jam 1.55 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohamadul Ehsan turut menasihatkan orang ramai supaya mengawal pembakaran terbuka bagi mengelakkan berlaku kebakaran besar ketika cuaca panas waktu ini.
"Angin kencang dan cuaca panas akan menyebabkan api merebak dengan cepat dan boleh mengakibatkan kebakaran lebih besar berlaku," katanya.
Mohamadul Ehsan berkata, anggotanya telah memastikan tiada lagi punca api dan asap di lokasi.