APG: Ashraf harap kisahnya menyuntik semangat

Bernama
Ogos 3, 2022 13:18 MYT
Muhamad Ashraf kini antara jaguh olahraga para negara dengan rekod kejayaan membanggakan. - Bernama
SOLO: Terpaksa mengharungi cabaran hidup dengan sebelah tangan selepas kemalangan motosikal pada 2013, semangat Muhamad Ashraf Mohamad Haisham pada awalnya telah luntur sepenuhnya sehingga hampir setahun tidak keluar dari rumah.
Namun, sembilan tahun sejak kemalangan ngeri itu, Muhamad Ashraf, 27, kini antara jaguh olahraga para dengan kejayaan meraih perak di temasya Sukan Para Asia 2018, selain empat emas, dua perak dan satu rekod Sukan Para ASEAN (APG) setakat ini.
Pada hari ini, beliau mengungguli acara 1,500m lelaki T46 (kecacatan anggota) dengan mencatatkan 4 minit dan 33.180 saat di Stadium Manahan di sini, manakala pesaing dari Vietnam Tran Van (4:34.300s) dan King James (4:34.880s) dari Filipina masing-masing mendapat perak dan gangsa.
Ia merupakan pingat keduanya di Solo, selepas merangkul perak acara 5,000m semalam dalam penampilan pertama bagi acara itu.
Terpaksa berdepan cabaran kehilangan tangan kirinya, iaitu tangan dominannya lebih kurang 10 bulan sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhamad Ashraf kehidupan menjadi sangat mencabar untuk dua tahun seterusnya.
"Mulanya agak susah, saya tidak ke sekolah kerana malu dengan tangan sebelah sebab kawan-kawan yang lain normal. Saya pergi ke (pusat) rehabilitasi, belajar untuk menulis dengan tangan kanan selama enam bulan untuk menduduki SPM.
"Apabila saya menyertai sukan para, (sukan bagi orang kurang upaya - OKU), saya dapat melihat ada yang lebih teruk dari saya, lumpuh, berkerusi roda... Dari situ saya dapat keyakinan untuk meneruskan hidup. Jadi saya nak pesan kepada OKU yang rasa rendah diri, cuba tonjolkan diri, mungkin ada bakat terpendam yang belum terserlah.
"Apabila kita keluar bergaul dengan orang senasib, kita mendapat motivasi yang lebih. Saya dah lalui perkara ini, jadi saya cuba tonjolkan diri untuk memberi semangat kepada mereka yang senasib," katanya yang bakal mempertahankan emas acara 800m esok.
Pada penampilan pertamanya di APG Singapura 2015, beliau meraih emas bagi acara 800m dengan rekod kejohanan 2:03.67s dan perak bagi 1,500m, manakala kali terakhir APG diadakan di Kuala Lumpur pada 2017, Muhamad Ashraf menang emas acara 800m dan 1,500m, manakala perak bagi acara 400m.
#Sukan Para ASEAN #muhamad ashraf mohamad haisham #jaguh olahraga #kemalangan motosikal
;