APEC 2024: Anwar bertemu pemimpin global di luar mesyuarat rasmi
Harits Asyraf Hasnan
November 15, 2024 07:15 MYT
November 15, 2024 07:15 MYT
LIMA (Peru): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengambil peluang bertemu beberapa pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di luar siri-siri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).
Antaranya mesyuarat bilateral bersama rakan sejawatnya dari Jepun, Shigeru Ishiba yang baru dilantik ke jawatan itu pada 1 Oktober lalu.
Selain mengucapkan tahniah, kedua-dua pemimpin turut menilai kemajuan kerjasama antara kedua-dua negara meliputi pelbagai bidang antaranya perdagangan, peralihan tenaga, pertahanan dan keselamatan, maritim, pendidikan serta budaya.
“Kami juga membincangkan isu serantau berkaitan dengan Laut China Selatan dan situasi di Myanmar.
“Kami berdua juga menyentuh isu-isu lain yang menjadi kepentingan bersama termasuk Jepun menyokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut mengundang Ishiba untuk mengadakan lawatan ke Malaysia sesegera mungkin.
Sehubungan itu, Anwar turut berharap agar hubungan Malaysia dan Jepun terus diperkasa, sekali gus dapat menarik minat lebih banyak pelaburan demi kemajuan dan potensi ekonomi negara.
Selain Jepun, Anwar turut bertemu Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), John Lee Ka-chiu.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut menilai kerjasama dalam bidang pelaburan, perdagangan, pendidikan, pelancongan, semikonduktor, teknologi maklumat, khidmat kewangan, dan hubungan sesama rakyat.
“Hong Kong turut menjemput Malaysia untuk mempelajari teknologi pengangkutan dan menyertai projek pembangunan hab Sains, Teknologi dan Inovasi, termasuk Taman Sains, yang diterajui oleh mereka.
“Saya juga menyatakan kesedian untuk bekerjasama dan membantu pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong di Kuala Lumpur sekali gus mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan HKSAR,” katanya.
Mesyuarat bilateral yang berlangsung di Pusat Konvensyen Lima itu turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Si serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.