APEC 2023: Malaysia, Indonesia, Brunei tekad juang isu Palestin
Harits Asyraf Hasnan
November 18, 2023 10:48 MYT
November 18, 2023 10:48 MYT
SAN FRANCISCO: Kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Brunei berjaya mengenepikan usaha beberapa negara yang enggan memasukkan isu Palestin dalam Deklarasi Pemimpin APEC.
Menerusi kenyataan bersama, tiga pemimpin negara tersebut tekad menangani krisis kemanusiaan yang mendesak di Gaza melalui Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC Ke-30 (AELM) yang diadakan di San Francisco, Amerika Syarikat.
Trio ini menyambut baik Deklarasi ‘Golden Gate’ Pemimpin Ekonomi APEC 2023 dengan menekankan pada persetujuan yang dicapai mengenai pelbagai isu ekonomi yang menjadi kebimbangan bersama.
“Walaupun mencapai kemajuan ini, pemimpin-pemimpin tersebut mengakui keperluan untuk satu kenyataan berasingan bagi menangani bencana kemanusiaan yang berlaku di Gaza, seperti yang dinyatakan dalam Kenyataan Pengerusi (Joe Biden),” memetik kenyataan itu.
Menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap penderitaan manusia yang meluas dan impak merugikan akibat konflik dan peperangan di seluruh dunia, pemimpin-pemimpin tersebut menekankan kesan jangka panjang ke atas ekonomi dunia.
Semasa perbincangan AELM, pemimpin-pemimpin tersebut dengan sepakat mendesak untuk gencatan senjata kemanusiaan yang segera, berpanjangan dan berterusan, selain menggesa menghentikan konflik di Semenanjung Gaza.
Mereka menekankan kepentingan yang kritikal untuk menyediakan akses segera, berterusan, mencukupi, dan tidak terhalang kepada barang dan perkhidmatan penting bagi penduduk awam di seluruh kawasan tersebut.
Menegaskan semula komitmennya terhadap keamanan, pemimpin-pemimpin tersebut menekankan bahawa penyelesaian yang adil dan kekal terhadap konflik Israel-Palestin hanya dapat dicapai melalui jalan damai.
Mereka mendesak pematuhan terhadap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu A/ES-10/L.25 dan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2712.
Pemimpin-pemimpin itu menekankan kepentingan penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin, selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Kenyataan bersama ini mencerminkan komitmen bersama Brunei, Indonesia dan Malaysia untuk menangani isu kemanusiaan yang mendesak dan memupuk keamanan serta kestabilan di Semenangjung Gaza dan seluruh kawasannya.
Pemimpin-pemimpin itu berharap pendirian kolektif mereka akan mendorong usaha antarabangsa yang lebih luas untuk mencapai penyelesaian yang kekal dan adil terhadap konflik yang berterusan itu.
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata Malaysia serta beberapa negara lain kekal dengan pendirian supaya krisis di Palestin perlu dimasukkan dalam Deklarasi ‘Golden Gate’ Pemimpin APEC.
Ia selepas ada cadangan supaya krisis yang berlaku antara Rusia-Ukraine turut dimasukkan dalam kenyataan tersebut.
“Cuma yang menjadi pertikaian adalah satu aspek lagi iaitu kenyataan geopolitik, di mana terdapat perbedaan pandangan di kalangan negara-negara anggota kerana adanya usaha untuk memberi penekanan semata-mata untuk Ukraine.
“Ini tidak dipersetujui oleh negara seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei atas perkiraan bahawa kalau sekiranya mahu diambil perkiraan geopolitik, maka isu yang berlaku di bumi Gaza hendaklah diambil kira.
“Malaysia, Indonesia dan Brunei tidak berkompromi dalam soal itu dan kemudian terdapat usaha-usaha sehingga pagi tadi di mana saya (mewakili Malaysia), Indonesia dan Brunei turut mengadakan perbincangan terakhir dengan wakil jawatankuasa yang diarah berjumpa dengan kami bertiga.
“Kami tetap tegaskan bahawa, kalau mahu dimasukkan soal geopolitik (dalam kenyataan pemimpin), bermakna kena dimasukkan juga soal Gaza, kenapa mahu dinafikan?
“Akhirnya mesyuarat bersetuju hanya kenyataan ekonomi, kenyataan geopolitik dikeluarkan oleh Kenyataan Pengerusi (Amerika Syarikat),” katanya.