APEC 2020 secara maya, Malaysia menimba pengalaman luar biasa.
Astro Awani
November 9, 2020 05:10 MYT
November 9, 2020 05:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 secara maya di sebalik pandemik COVID-19 bakal menjadi rujukan kepada persidangan berskala besar yang lain.
Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, selepas 22 tahun, kali ini Malaysia menimba pengalaman yang luar biasa.
"Saya kira ini satu penghormatan kepada kita kerana APEC 2020 diadakan secara maya. Ini merupakan antara kali pertama saya ingat, mesyuarat ketua-ketua negara diadakan secara maya.
"Ini pengalaman yang luar biasa, di mana, orang boleh datang dan tanya macamana kita anjurkan persidangan yang berskala besar seperti ini," ketika ditemui di MITI, di sini, semalam.
Mengimbas kembali kali pertama penganjuran APEC di Malaysia pada 1998, beliau mengakui ia cukup berbeza.
"Vitual (maya) maknanya lain sedikit dengan apa yang berlaku pada 1998, dengan kehadiran banyak pemimpin.
"(Pada 1998) Kita kena atasi banyak masalah dari aspek keselamatan sehinggalah ke tempat penginapan.
"Kita juga harus memastikan setiap delegasi disediakan pegawai liaison yang bersesuaian," katanya.
Mengulas lanjut, Asmat berkata, pengalaman menganjurkan APEC selama 22 tahun cukup istimewa apabila jawatankuasa bertindak duduk bersama memikirkan tempat-tempat unik untuk dijadikan sebagai lokasi persidangan.
"Selain menganjurkan APEC, kita juga memberi mesej secara tidak langsung kepada ketua-ketua pemimpin negara ini mengenai tarikan pelancongan di Malaysia dan menonjolkan keistimewaan kita," ujarnya.
Malaysia akan mengadakan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (AELM) pada 20 Nov ini secara maya - buat kali pertama dalam sejarah APEC - susulan situasi pandemik COVID-19.
Sebagai tuan rumah APEC 2020, Malaysia bertekad untuk memastikan kejayaan mesyuarat-mesyuarat APEC tahun ini.
AELM akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan disertai kesemua 21 pemimpin ekonomi APEC.
Sebelum AELM berlangsung, Menteri Kanan merangkap Menteri MITI Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri APEC (AMM) pada 16 Nov, 2020.
AMM akan menjadi acara penutup bagi mesyuarat peringkat kementerian tahun ini, sebuah platform untuk menilai semula kemajuan status kerja yang dilaksanakan bagi rantau ini.
Malaysia melakar sejarah dengan mengubah cara lazim APEC menjalankan urusannya dengan mengadakan mesyuarat-mesyuarat APEC kebanyakannya dalam format maya penuh.
Tahun ini merupakan kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah APEC.
#APEC 2020
#persidangan maya
#APEC 1998
#maya
#persidangan
#virtual
#tempat unik
#lokasi persidangan
#Pemimpin Negara
#APEC
#Asmat Kamaludin
#COVID-19
#tuan rumah
#Malaysia
#MITI
#keselamatan
#pegawai liaison
#rujukan
#AELM
#AMM