APEC 2020: Malaysia cadang tiga keutamaan rangkumi semua aspek ekonomi

Raja Hisyam Raja Zaid
November 20, 2020 20:24 MYT
Muhyiddin dalam ucapan pembukaan APEC 2020 sebagai pengerusi persidangan menekankan keperluan usaha dalam kalangan anggota secara konstruktif bagi memastikan proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang kuat, inklusif dan mampan.
KUALA LUMPUR: Anggota Kerjasama Ekonomi Asia – Pasifik (APEC) diseru untuk berganding bahu ketika berhadapan situasi untuk mengawal dan memulihkan ekonomi yang dihadapi akibat penularan pandemik COVID-19.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan pembukaan APEC 2020 sebagai pengerusi persidangan, turut menekankan keperluan usaha dalam kalangan anggota secara konstruktif bagi memastikan proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang kuat, inklusif dan mampan.
“Ketika kita mencari jalan penyelesaian serantau untuk mencapai keseimbangan antara keutamaan kesihatan dan keperluan ekonomi kita, kita diingatkan untuk tidak mencari perbezaan antara kita tetapi adalah persamaan," kata Muhyiddin.
“Kita harus bersatu dalam memerangi COVID-19, oleh itu sangat penting semua pihak seluruh dunia untuk mengakses vaksin dan teknologi kesihatan pada kadar berpatutan, mudah dan adil," kata Muhyiddin dalam ucapan perasmian dalam acara kemuncak Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) pada Jumaat.
Ini pertama kali dalam sejarah penganjuran APEC, acara ini dilakukan secara maya.
Tambahnya, selaku anggota dalam sebuah badan yang merupakan penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 60 peratus kepada dunia, peranan yang dimainkan APEC adalah penting dan memberi kesan terhadap isu menangani pandemik COVID-19.
Justeru, Malaysia mencadang dan memperinci tiga keutamaan yang mampu memberi manfaat merangkumi semua anggota ekonomi APEC.
“Keutamaan pertama dan paling penting adalah untuk kita menegaskan kembali sokongan dan komitmen kita untuk sistem perdagangan pelbagai hala berdasarkan peraturan. Ini penting bagi perniagaan kita, kerana kestabilan dan ramalan pasaran adalah tonggak utama yang memastikan bahawa perdagangan dan pelaburan terus mengalir, walaupun pada masa krisis," menurut Muhyiddin.
“Keutamaan kedua adalah untuk meningkatkan ekonomi digital, memandangkan keperluan mendesak untuk menjana pekerjaan dan mengembalikan pekerja kita ke pasaran pekerjaan. Inovasi dan digitalisasi adalah asas dalam konteks ini, kerana pemboleh ini tidak hanya mempermudah usaha kita untuk menghidupkan semula aktiviti ekonomi, tetapi juga untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat kita.
“Keutamaan ketiga adalah pertumbuhan ekonomi inklusif. Saya mesti menekankan bahawa pemulihan ekonomi dan seterusnya pertumbuhan harus memastikan bahawa tidak ada yang ketinggalan," katanya.
Malaysia sebagai negara yang mengetuai persidangan APEC kali ini juga melihat kebimbangan dalam memastikan kekayaan yang dinikmati oleh negara serantau sampai kepada semua rakyat negara anggota.
Justeru, jelasnya Malaysia melihat hasrat tersebut mampu dicapai sekiranya pendekatan kemakmuran bersama dengan memberi penekanan terhadap pembangunan ekonomi dan kesejahteraan di peringkat pusat.
Ia akan membolehkan semua lapisan masyarakat dapat mengambil bahagian secara berkesan dalam setiap kegiatan ekonomi.
“Tema “ Kemakmuran Bersama” yang dipilih kali ini juga akan menekankan fokus APEC untuk meningkatkan taraf hidup semua rakyat kita," katanya.
APEC, yang terdiri daripada 21 ekonomi termasuk Malaysia, merupakan forum ekonomi serantau yang diasaskan pada 1989 untuk memanfaatkan kesalingbergantungan yang semakin meningkat di Asia Pasifik.
#Muhyiddin Yassin #KDNK #APEC #Asia #Perdana Menteri #ekonomi #kesihatan #rakyat #pelaburan #menteri #Malaysia #COVID-19 #pandemik #APEC 2020 #MyAPEC2020
;