Apartmen tidak selamat diduduki akibat tanah runtuh, 65 orang dipindahkan

Afiezy Azaman
Oktober 10, 2019 06:00 MYT
Sebuah pangsapuri di Kampung Sri Penchala diisytiharkan tidak selamat diduduki selepas terjejas akibat tanah runtuh. Foto ihsan JBPM
Pangsapuri Azalea Apartments di Jalan Sri Penchala 1, Kampung Sri Penchala, diisytiharkan tidak selamat diduduki selepas terjejas akibat tanah runtuh yang berlaku malam tadi.
Sehubungan itu, seramai 65 orang penghuni daripada 24 buah rumah di apartmen itu terpaksa dipindahkan ke Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail sebagai langkah keselamatan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan awal hari ini, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.08 malam.
"Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Ismail serta 13 anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) digerakkan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi, bomba mendapati kejadian tanah runtuh berlaku di belakang kawasan flat tersebut berkeluasan 1,500 kaki persegi dan sedalam 19 kaki," katanya.
Anggota menjalankan pemeriksaan lanjut dan mendapati bangunan tersebut tidak selamat untuk diduduki.
Operasi turut membabitkan anggota BBP Cheras, BBP Keramat dan dibantu pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pihak polis juga ada membuat kawalan keselamatan di lokasi kejadian.
Operasi memindahkan penghuni flat itu ditangguhkan buat waktu ini sementara menunggu penyiasatan lanjut.
#anggota #apartmen #bangunan #bomba #DBKL #Jalan Sri Penchala 1 #JBPM Kuala Lumpur #Kampung Sri Penchala #kecemasan #keselamatan #pangsapuri #penghuni #pindah #polis #Pusat Komuniti #rumah #STORM #tanah runtuh
;