Apakah punca kenaikan harga ikan di Malaysia?

Agensi
Jun 1, 2022 14:52 MYT
Sudah lebih sebulan, rakyat Malaysia dibebankan dengan kenaikan harga ayam dan terbaharu, difahamkan harga ikan turut sama meningkat. - Gambar fail
SUDAH lebih sebulan, rakyat Malaysia dibebankan dengan kenaikan harga ayam dan terbaru, difahamkan harga ikan turut sama meningkat.
Terdapat pelbagai faktor menyumbang kepada kenaikan harga tersebut dan dua faktor utama ialah kekurangan bekalan disebabkan cuaca buruk dan jumlah pekerja yang semakin berkurang.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, bekalan ikan dalam negara kurang sebanyak 15 peratus disebabkan kekurangan pendaratan ikan.
Memetik laporan Channel NewsAsia, mengikut data LKIM, sepatutnya jumlah pendaratan ikan sehari ialah sebanyak 4,000 tan metrik.
BACA: Bekalan ikan negara mencukupi - Jabatan Perikanan
BACA: Kelemahan sistem pengurusan punca bekalan ikan berkurangan - LKIM
Begitupun, pada masa ini pendaratan hanya 3,250 tan metrik sehari manakala jumlah pendaratan dalam negara berkurangan sebanyak 15 peratus selama tujuh hari.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perusahaan Ikan Malaysia, Chia Tian Hee berkongsi faktor lain dan ia berkait dengan insiden bot nelayan rosak teruk baru-baru ini akibat cuaca buruk di lautan.
Keadaan itu menyebabkan ada nelayan bimbang untuk turun ke laut kerana memikirkan keselamatan diri dan bot kerana jika bot rosak, kos untuk membaikinya agak tinggi.
BACA: Harga ikan kembung 'melambung' akibat kekurangan bekalan
Selain itu, tambah beliau, sektor perikanan banyak bergantung kepada pekerja asing, dari aspek operasi bot sehinggalah kepada jualan.
Keputusan kerajaan menutup sempadan negara sejak dua tahun lepas menyebabkan berlakunya kekurangan tenaga buruh namun kini semakin pulih selepas sempadan kembali dibuka.
Kekurangan tenaga buruh menyebabkan tidak banyak bot turun ke laut sekali gus menjadikan jumlah tangkapan semakin berkurang saban hari.
Selain itu, jumlah ikan yang dilihat agak kurang di laut merupakan faktor lain yang menyumbang kepada pengurangan bekalan.
BACA: Harga ikan segar naik RM2 hingga RM10 resahkan pengguna
Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Abdul Hamid Bahari berkata, terdapat penurunan ketara dalam ikan yang dilihat di laut, terutamanya di utara Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, peratusan tepat masih belum ada namun beliau menganggarkan ia antara 20 ke 30 peratus.
Begitupun, apabila masalah kekurangan tenaga buruh dapat diatasi, lebih banyak kapal nelayan boleh turun ke laut dan pastinya tangkapan lebih banyak yang seterusnya menstabilkan semula harga ikan.
#pekerja asing #nelayan #harga ikan #LKIM #cuaca buruk
;