Apakah nasib Kampung Dato Mufti Shuib?
Tan Su Lin
Julai 10, 2016 08:00 MYT
Julai 10, 2016 08:00 MYT
Percaya atau tidak, Kampung Dato Mufti Shuib, barangkali antara perkampungan Melayu yang masih wujud di Kuala Lumpur.
Kebanyakan penduduk sudah lama tinggal di kawasan berkenaan, malah rata-rata mereka sudah berusia.
Mereka bagaimanapun berdepan dilema susulan projek Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) bakal merentasi kampung berkenaan.
Antara salah seorang penduduk, Ismail Zakaria, 75, yang mahu jajaran lebuh raya itu dialihkan, agar tidak menjejaskan kawasan kampung mereka.
"Saya sudah 40 tahun tinggal di sini dengan aman damai dan cukup selesa sekali. Geran semua sudah dapat dan sekarang mahu saya berpindah? Sedih sebab yang tinggal di sini semua yang sudah bersara macam saya. Cuba fikirkan saya sudah berusia lebih 70 tahun, mana lagi saya hendak tinggal?" katanya kepada Astro AWANI.
Ada juga yang mempertikaikan jajaran lebuh raya itu yang didakwa tidak termasuk dalam pelan asal.
"Kalau ikut pada pelan asal, projek ini tidak termasuk dalam pelan asal. Kini mereka ingin membina susur masuk lebuh raya di sini. Jadi apabila penduduk diberitahu mengenai hal ini, memang ramai yang membantah," kata seorang lagi penduduk, Ahmad Sabri Kadir, 43.
Tinjauan kami mendapati beberapa jalan telah ditanda dengan cat merah, dipercayai berkaitan dengan pembinaan projek lebuh raya SUKE.
"Buat masa sekarang, pihak pentadbir tanah baru panggil kami untuk pendengaran pertama dengan pihak pejabat tanah. Memang lebuh raya akan lalu tempat ini, mereka akan robohkan juga rumah-rumah di sini," kata Ahmad Sabri.
Kampung Dato Mufti Shuib mempunyai kira-kira 23 lot rumah dengan semuanya berpenghuni.
Biarpun tidak dirobohkan, barangkali ia juga tidak selamat didiami berikutan lokasinya berhampiran dengan lebuhraya bertingkat itu.
Turut bakal dirobohkan adalah pasar yang terletak kira-kira 50 meter dari kampung berkenaan.
Selepas lebih 20 tahun berniaga, nasib kira-kira 100 peniaga di Pasar Kampung Dato Mufti Shuib atau lebih dikenali sebagai 'Pasar Kubur', kini berdepan tanda tanya.
Menurut peniaga, Mahadi Awang, 43, mata pencarian mereka bakal hilang gara-gara projek pembinaan lebuhraya SUKE.
"Kami pun tidak tahu mana lagi kami nak cari rezeki. Kat mana kami nak berniaga? Lagipun sini sahaja tapak MPAJ berikan kami untuk berniaga. Jadi kalau teruskan dengan lebuh raya ini, memang tutup pintu rezeki peniaga sini," katanya.
Kebanyakan penduduk dari kawasan Bukit Indah, Taman Kosas, Kampung Dato Mufti Shuib bertumpu di pasar itu pada hujung minggu.
"Kalau tiada lagi pasar di sini agak susah lah bagi kami kena pergi pasar yang jauh sikit. Mungkin perlu pergi ke Taman Muda atau Pekan Ampang. Kalau di sini dekat sahaja, kita jalan sudah sampai sebab banyak perumahan di sini," menurut salah seorang penduduk, Alice Ng, 53.
Difahamkan, susur keluar masuk bagi lebuhraya SUKE akan bermula dari pasar berkenaan dan merentasi Kampung Dato Mufti Shuib.
Pemerhatian kami di pasar itu mendapat terdapat kain rentang yang tertera: "Jangan ganggu ketenteraman kampung kami dengan laluan keluar masuk SUKE."
Lebuhraya bertingkat sepanjang 31.8 km itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas, dengan menghubungkan Sungai Besi ke Ulu Kelang melalui Cheras dan Ampang.