'Apakah mekanisme yang awak mahu?', soal menteri kepada wartawan
Harits Asyraf Hasnan
November 8, 2016 19:48 MYT
November 8, 2016 19:48 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) masih belum menetapkan sebarang mekanisme kawalan harga minyak masak.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya akan membuat pengumuman mekanisme yang sesuai jika wujud keperluan.
"Kita buat kajian, kalau kita perlu kita akan umumkan. Saya nak tanya, di tengah bulan Disember, apakah mekanisme yang kamu (wartawan) inginkan?
"Saya nak tanya, boleh kamu jawab sekarang?" soalnya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Integriti KPDNKK 2016 di kementeriannya, di sini, hari ini.
Lantas, salah seorang pemberita mengemukakan cadangan supaya mewujudkan pusat pembelian berpusat minyak masak kepada peniaga selaras hasrat Kerajaan untuk memastikan subsidi yang diberi diterima golongan sasar.
Ini jawapan beliau: "Itu cadangan kamu, tetapi kalau ia baik, kita guna. Cuma saya hendak jelaskan di sini dari segi logistik, ada orang yang duduk pedalaman (yang) jauh.
"Inilah yang kita cuba lakukan pada ketika ini. Pembungkusan semula itu dilakukan di kawasan-kawasan tertentu. Yang penting pada saya, penawaran mesti mencukupi kepada minyak paket satu kilogram," katanya.
Kenyataan balas Hamzah itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemberita yang hadir pada sidang media tersebut.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata KPDNKK perlu meneliti cadangan mewujudkan mekanisme penetapan harga minyak masak itu demi kesejahteraan rakyat.
"Itu cadangan yang harus diteliti dengan baik oleh pihak KPDNKK dan bukan sahaja daripada NGO (badan bukan kerajaan) malah maklum balas daripada media dan orang ramai juga boleh diguna pakai," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri, Khamis lalu.
#Datuk Seri Hamzah Zainudin
#kementerian perdagangan dalam negeri
#Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
#mekanisme kawalan harga minyak masak