Apakah kita belum cukup radikal melawan COVID-19? Dialog Tiga Penjuru, 8.30 malam ini
Israr Khalid
Julai 15, 2021 17:58 MYT
Julai 15, 2021 17:58 MYT
HARI ini kita melakar sejarah lagi. Malangnya, ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan, kerana kes jangkitan baharu COVID-19 sudah mencecah angka 13,000.
Sudah beberapa hari Malaysia mencatat lima angka, walaupun kawalan pergerakan sudah dikuatkuasakan dan diperketatkan di beberapa daerah dan negeri. Kewujudan varian baharu pula kini memburukkan lagi keadaan yang sedia parah.
Maka timbul persoalan dalam kalangan rakyat, apa fungsinya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan? Bekalan makanan dikatakan makin kurang, mental semakin rapuh, ada yang sudah putus asa. Ada juga yang masih gagah mengharungi, namun sampai bila?
Mungkin ini sudah lagi bukan masanya untuk menuding jari kepada sesiapa. Siapa yang bersalah dalam soal punca keparahan ini harus diketepikan dahulu, dan tumpuan perlu ditujukan kepada mencari solusi menewaskan virus durjana ini.
Namun kita bertanya kembali sesama kita, apakah lagi yang belum kita lakukan? Mungkinkah langkah kita belum cukup radikal, sedangkan barisan hadapan kita mengabdikan sepenuh jiwa menahan serangan virus ini sejak hampir dua tahun lepas.
Pastinya perang ini bukan untuk dihadapi oleh ‘frontliners’ sahaja, ia menuntut penglibatan seluruh anggota masyarakat. Pahit untuk mendengarnya, tetapi hakikatnya masih ada sebilangan besar yang masih tidak percaya dan menyokong segala usaha yang telah dilakukan.
Apakah lagi yang belum dilakukan untuk meyakinkan mereka? Apakah lagi tindakan yang boleh diambil untuk mengekang virus ini daripada terus mengganas? Apakah lagi ramuan yang masih kita tidak ketahui dan belum ditemukan untuk menghasilkan formula ulung memenangi perperangan ini?
Mungkin Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi & Biostatistik) UPM, Prof. Madya Dr. Malina Osman; Mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM, Prof. Datuk Dr. Rohaizat Yon; dan Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia-Cheras, Dr. S. Malar Santhi dapat menemukan cebisan yang hilang itu di pentas Dialog Tiga Penjuru.
Saksikannya, malam ini jam 8.30, di saluran 501 dan astroawani.com.
#Dialog Tiga Penjuru
#COVID-19
#kes baharu
#pendapat pakar
#Dr Malina Osman
#Dr Rohaizat Yon
#Dr S Malar Santhi