Apakah ada cara lain selain pengeluaran simpanan KWSP? Dialog Tiga Penjuru 8.30 malam ini

Israr Khalid
Mac 17, 2022 17:29 MYT
Pengeluaran khas simpanan KWSP sehingga RM10,000 - wajar atau tidak?
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru sahaja mengumumkan kebenaran untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas sehingga RM10,000.
Menurut beliau, ia menjadi yang terakhir untuk siri pengeluaran wang simpanan para pekerja Malaysia tatkala keadaan semakin memulih apabila negara beransur beralih dari era pandemik kepada endemik.
Nyata, pengumuman tersebut mencetuskan reaksi yang bermacam dari pelbagai pihak, khususnya antara mereka yang terdesak dengan mereka yang risau dengan keadaan ekonomi kewangan rakyat negara ini di hari tua kelak.
Ada golongan yang masih bergelut untuk bangkit dari dibadai COVID-19 dan terus merangkak untuk membina semula kehidupan, maka dilihat pengeluaran wang simpanan mereka di KWSP sebagai talian hayat terakhir untuk terus bernyawa.
Namun, harus diingat, wang yang diperoleh itu adalah wang mereka sendiri yang disimpan untuk kehidupan di hari tua nanti, bukannya suntikan bantuan daripada kerajaan yang sepatutnya diharapkan.
Ketika ini, hampir 50 peratus daripada pencarum KWSP yang berumur bawah 55 tahun mempunyai simpanan tidak sampai RM10,000 dan hal ini amat membimbangkan.
BACA: Kerajaan benarkan pengeluaran KWSP RM10,000 - PM
BACA: Ini pengeluaran khas terakhir - KWSP
Itu yang menjadi kebimbangan sebahagian lagi pihak yang tidak mahu dalam beberapa tahun daripada sekarang dan masa mendatang, sudahnya nanti negara kita akan berdepan kemungkinan krisis ekonomi warga emas dan kesan-kesan riak lain daripadanya.
Apakah tiada jalan lain yang boleh dicetuskan oleh cerdik pandai dalam kerajaan untuk memberi bantuan kepada rakyat terutamanya mereka yang benar-benar memerlukan tanpa perlu mereka mengusik simpanan hari tua mereka?
Andai benarlah kerajaan ‘tiada duit’ untuk berbuat demikian atas apa pun sebabnya dan rakyat terpaksa menggunakan wang simpanan hari esok untuk terus hidup hari ini, apakah masih ada ruang untuk membuat satu mekanisme bagi menjana semula wang yang telah dikeluarkan itu?
Pasti ada caranya dan malam ini di pentas Dialog Tiga Penjuru kami akan membawakan tiga tokoh untuk membincangkannya; Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK); Mohd Effendy Abdul Ghani, Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC); dan Khairul Anuar Othman, Presiden ProRakyat.
Pastikan anda tidak ketinggalan menonton Dialog Tiga Penjuru pada pukul 8.30 malam di saluran 501 dan strim di astroawani.com.
Moga-moga penyelesaiannya dapat dicari, didengari dan diambil tindakan oleh mereka yang berkenaan.
#Dialog Tiga Penjuru #KWSP #EPF #Astro Awani
;