APAD siasat dan kenal pasti punca pelanggan marah pegawai di kaunter

Bernama
Februari 27, 2019 07:32 MYT
APAD menasihati orang ramai agar datang lebih awal bagi kelancaran urusan di kaunter. - Gambar hiasan
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah menjalankan siasatan berhubung perkongsian video berdurasi 43 saat yang tular di laman sosial mengenai seorang pelanggan memarahi pegawai kaunter, baru-baru ini.
APAD dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan lanjut dijalankan ke atas kejadian yang berlaku di pejabat wilayah APAD Kelana Jaya itu mendapati pelanggan terbabit tidak menunggu lama sepertimana didakwa dalam video berkenaan.
"Pelanggan tersebut hadir ke kaunter pejabat wilayah pada 26 Feb, 2.30 petang, bagi menghantar dokumen permohonan namun tidak dapat menjalankan urusan tersebut disebabkan kaunter nombor giliran ditutup pada 2 petang.
"Apabila had nombor mencapai had maksimum giliran harian, pelanggan itu diminta untuk hadir semula lebih awal oleh pegawai di kaunter. Namun, pelanggan tersebut kemudian tidak berpuas hati dan terus memarahi pegawai kaunter kerana mendakwa telah menunggu selama empat jam untuk berurusan," katanya.
Menurut APAD, berikutan penutupan beberapa pejabat di Pusat Transformasi Bandar (UTC), pejabat Wilayah APAD Kelana Jaya yang sebelum ini menerima purata 500 pelanggan sehari, kini mengalami pertambahan mendadak bilangan pelanggan, selain turut menghadapi kekurangan petugas dan kaunter untuk berurusan.
"Pihak kami ingin menasihati orang ramai agar datang lebih awal bagi kelancaran urusan di kaunter. Pihak APAD amat memandang serius berhubung perkara ini dan kami sentiasa mengutamakan kebajikan pelanggan serta berharap kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan.
"APAD akan sentiasa memperbaiki mutu perkhidmatan demi kelancaran urusan setiap pelanggan dan segala kesulitan yang berlaku amatlah dikesali," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Agensi Pengangkutan Awam Darat #APAD #kaunter #kekurangan petugas #Kelana Jaya #marah #menunggu lama #pegawai #pelanggan #pertambahan mendadak #siasatan #SPAD #Tular #UTC #video
;