Apa yang tidak 'proper' dengan Penampang Proper?

Tan Su Lin
April 15, 2018 13:45 MYT
Sungai Moyog yang nampak tenang dan aman bertukar jadi 'mimpi ngeri' bagi penduduk Penampang Proper setiap kali hujan lebat. - Astro AWANI / TAN SU LIN
Kira-kira 15km dari bandar Kota Kinabalu terletak sebuah kampung dengan nama yang agak unik, iaitu Penampang Proper.
Kawasan yang dihuni rata-rata masyarakat Kadazandusun itu menyusuri hilir Sungai Moyog, sekali gus memberikan gambaran kepada penulis akan suasana kampung yang cukup aman dan tenang.
Namun di sebalik ketenangan itu, penduduk di sini terpaksa berdepan situasi cemas setiap kali bunyi siren berkumandang, terutamanya ketika hujan lebat.
Siren pertama adalah untuk memberi amaran kepada penduduk yang tinggal berhampiran sungai itu bahawa paras air makin naik.
Salah seorang penduduk kampung, Nismah Dynisuis, 59 tahun, memberitahu itu adalah amaran kepada penduduk agar segera memindahkan barangan berharga ke paras lebih tinggi.
Ini kerana air sungai berkenaan sering melimpah dengan kadar pantas lalu menelenggami kawasan kampung itu.
"Pertama kali saya tinggal di sini 20 tahun lalu, saya terkejut mendengar bunyi siren.
"Siren pertama semua penduduk sudah mula mengalihkan barang seperti peti sejuk, mesin basuh dan sebagainya. Kenderaan juga dibawa keluar ke tanah lebih tinggi.
"Tidak lama kemudian, siren kedua dan ketiga berbunyi dan sekelip mata sahaja, air sungai dari kawasan bukit mengalir deras dan terus melimpah ke jalan raya.
"Dalam beberapa saat, air terus naik dengan pantas sehingga ia kelihatan seolah-olah seperti 'lautan' dan semua kawasan berhampiran dilitupi air sehingga kami perlu menggunakan bot atau perahu," katanya.
Nismah yang menjalankan perniagaan runcit di kampung berkenaan juga bergantung kepada pertolongan anak-anaknya dan juga orang kampung untuk membantunya memindahkan barangan ke tempat selamat.
Kali terakhir banjir berlaku di kampung berkenaan adalah ketika musim tengkujuh hujung tahun lalu.
Cukup dengan 'derita' selama 20 tahun itu, Nismah berharap pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya termasuk mendalamkan Sungai Moyog yang makin cetek itu bagi mengelak berulangnya banjir.
Pada masa sama, meningkatkan sistem perparitan di kampung berkenaan.
"Masalahnya, parit dan longkang di sini selalu juga tersumbat menyebabkan air hujan dan limpahan sungai tidak dapat mengalir keluar lalu memburukkan lagi keadaan apabila berlaku banjir," keluhnya lagi.
Banjir di Sungai Moyog memang cukup sinonim dengan penduduk di Penampang Proper.
Tidak sepertinya namanya, ada juga perkara yang belum terurus atau 'proper' di kampung itu.
#amaran #banjir #hujan #Kadazandusun #kampung #Penampang #Penampang Proper #siren #Sungai Moyog #tengkujuh
;