Apa yang rakyat Malaysia perlu tahu tentang Akta Wilayah Laut 2012 (TSA)
Mohd Hazmi Mohd Rusli
Jun 21, 2016 22:10 MYT
Jun 21, 2016 22:10 MYT
Lautan merangkumi 71 peratus dari permukaan Bumi dan telah banyak mencorak ketamadunan manusia berkurun lamanya.
Apabila de-kolonisasi bermula di akhir Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, dunia tidak lagi berpaksikan Eropah, atas sebab munculnya negara-negara baru yang merdeka di Asia, Afrika dan Amerika Selatan.
Oleh kerana wilayah laut boleh menjadi punca terjadinya peperangan dan konflik, wujud keperluan untuk masyarakat dunia untuk bersama-sama merekabentuk perlembagaan bagi mentadbir wilayah kelautan untuk keamanan sejagat.
Pada tahun 1960, kerajaan Persekutuan Malaya telah bersetuju untuk menjadi negara anggota Konvensyen Geneva Mengenai Wilayah Laut dan Zon Bersempadanan 1958 (TSC).
Sebuah dokumen rasmi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) (Document A/CONF.19/L.15) merekodkan bahawa Persekutuan Malaya juga menyertai Persidangan PBB Kedua Mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS II) pada tahun 1960 di Geneva, Switzerland – sebuah persidangan yang gagal untuk menyelesaikan pertikaian maritim.
Malaysia
Apabila Persekutuan Malaya dibentuk semula sebagai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, Malaysia secara aktif mengambil bahagian di dalam Persidangan Ketiga PBB Mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS III) yang berlangsung dari tahun 1973 hingga 1982 di New York.
UNCLOS III telah berjaya menghasilkan Konvensyen Undang-undang Laut 1982 (LOSC), suatu triti multilateral yang mentadbir wilayah kelautan sehingga hari ini.
Malaysia adalah negara anggota kepada LOSC yang mula berkuatkuasa di Malaysia pada tahun 1996.
LOSC telah menggantikan pemakaian TSC yang dipersetujui oleh Malaya sebelum ini pada tahun 1960.
Bagi menguatkuasakan peruntukan LOSC dalam undang-undang domestik, Malaysia telah menggubal Akta Laut Wilayah 2012 (TSA).
Walaubagaimanapun, TSA telah menerima beberapa kritikan terutamanya dari Sarawak, yang mengatakan ianya melanggar perlembagaan dan tiada konsultasi dijalankan bersama Sarawak sewaktu penggubalan TSA dijalankan.
Adakah TSA melanggar perlembagaan?
Perlukah ianya dipinda?
Perjanjian Antarabangsa/ Triti
Perlembagaan Persekutuan (Senarai Persekutuan) menetapkan bahawa perkara-perkara berkaitan hubungan luar seperti perjanjian antarabangsa/triti, hubungan antarabangsa dan penguatkuasaan peruntukan perjanjian antarabangsa/triti adalah dibawa bidang kuasa kerajaan persekutuan.
Oleh sebab itu kerajaan Persekutuan Malaya, dan bukannya kerajaan-kerajaan negeri di dalam Malaya seperti Johor atau Negeri Sembilan, mengambil bahagian dalam UNCLOS II pada tahun 1960.
Perkara yang sama terpakai untuk UNCLOS III, yang mana ianya disertai oleh Malaysia dan bukannya negeri-negeri di dalam Malaysia seperti Sarawak, Sabah ataupun Johor.
Hanya negara berdaulat boleh menyertai persidangan-persidangan tajaan PBB ini.
Adalah menjadi fakta yang jelas bahawa kerajaan-kerajaan negeri di dalam Malaysia bukanlah entiti berdaulat.
Wilayah Laut
Garis pangkal adalah penting bagi menentukan wilayah laut sesebuah negara pesisir.
Secara umumnya, ianya diukur dari titik paling rendah (low-water line) yang dicapai oleh air laut di kawasan pantai sewaktu air surut.
Kawasan perairan yang terletak ke arah daratan dari garis pangkal ini dianggap sebagai perairan dalaman (internal waters) dan tidak ditadbir oleh LOSC tetapi oleh undang-undang negara pesisir yang terlibat.
Bahagian II LOSC menetapkan bahawa perairan dalaman termasuk pelabuhan, teluk dan kuala sungai.
Artikel 3 LOSC menyimpulkan bahawa sesebuah negara pesisir boleh menuntut sehingga 12-nautika batu (lebih kurang 22 kilometer) wilayah laut dari garis pangkal negara pesisir.
Terma ‘negara’ yang digunakan di dalam LOSC merujuk kepada negara berdaulat dan bukanlah negeri komponen di dalam sesebuah negara.
Dalam erti kata yang lain, peruntukan LOSC membenarkan Malaysia untuk menuntut sehingga 12-nautika batu wilayah laut tetapi hak ini tidak terpakai untuk Sarawak, Sabah, Johor atau mana-mana negeri komponen di dalam Malaysia.
Malaysia mempunyai kedaulatan sepenuhnya ke atas wilayah laut yang terdiri daripada perairan dan dasar laut di dalam zon ini.
Di luar had 12-nautika batu ini, negara pesisir tidak lagi boleh menuntut kedaulatan tetapi ianya boleh mengamalkan hak kedaulatan sehingga 200-nautika batu (lebih kurang 370 kilometer) ‘zon ekonomi eksklusif (EEZ)’, yang lebih dikenali sebagai zon perikanan.
Adakah TSA Melanggar Perlembagaan?
Setiap negara mempunyai cara tersendiri untuk menyalurkan perjanjian antarabangsa/triti ke dalam undang-undang domestik mereka.
Sebagai sebuah negara anggota Komanwel yang mengikuti sistem British, kuasa legislatif Malaysia terletak pada Parlimen.
Oleh itu, sebarang perjanjian antarabangsa/triti atau konvensyen hanya akan menjadi sebahagian dari undang-undang Malaysia apabila Parlimen menggubal sesuatu akta, yang akan menguatkuasakan peruntukan triti tersebut di Malaysia.
TSA ialah salah satu statut yang membolehkan LOSC mengambil tempat sebagai sebahagian dari undang-undang Malaysia.
Seksyen 3(1) TSA menjelaskan bahawa wilayah laut Malaysia boleh diukur sehingga 12-nautika batu dari garis pangkal.
Seksyen 4 pula menetapkan bahawa Malaysia mempunyai kedaulatan sepenuhnya ke atas perairan dan dasar laut bagi zon ini.
Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa sebarang perkara yang melibatkan hal-ehwal pentadbiran tanah tertakluk kepada bidangkuasa kerajaan negeri, bukanlah kerajaan persekutuan.
Kanun Tanah Negara 1965 walaubagaimanapun tidak terpakai untuk negeri Sarawak.
Kanun Tanah Sarawak 1958 terpakai bagi negeri berkenaan, yang mana Seksyen 12 kanun ini menyatakan bahawa ‘keseluruhan hartanah dan pengawalan tanah negeri dan kesemua sungai-sungai, terusan, anak-anak sungai dan alur air dan dasarnya adalah tertakluk dan akan tertakluk sepenuhnya di bawah bidangkuasa kerajaan (Sarawak)’.
Walaubagaimanapun, TSA tidak melibatkan kawasan daratan, tetapi wilayah laut yang diukur dari garis pangkal sehingga had 12-nautika batu.
Lagipula, tiada peruntukan di dalam Seksyen 12 Kanun Tanah Sarawak yang merujuk kepada ‘wilayah laut’ tetapi hanya merujuk kepada perairan daratan (inland waters) seperti sungai, terusan dan anak-anak sungai.
LOSC mengutarakan bahawasanya hanya negara berdaulat boleh menuntut wilayah laut sehingga had 12-nautika batu.
Oleh itu, bidang kuasa ke atas wilayah laut sepatutnya diserahkan kepada kerajaan persekutuan yang mewakili negara Malaysia yang berdaulat, dan bukannya kerajaan-kerajaan negeri di dalam Malaysia.
Berdasarkan fakta-fakta ini, di sisi manakah TSA melanggar perlembagaan?
TSA hanya sekadar menurut apa yang telah ditetapkan oleh LOSC dan sebagai sebuah negara anggota, Malaysia tertakluk kepada peruntukan LOSC.
Kesimpulan
Malaysia merupakan sebuah negara yang telah terlibat secara aktif di dalam persidangan undang-undang laut antarabangsa sejak kemerdekaannya pada tahun 1957.
Sejak 1996, Malaysia telah menjadi negara anggota LOSC dan oleh kerana itu, ianya penting bagi Malaysia untuk menyalurkan peruntukan LOSC ke dalam TSA.
TSA tidak melanggar perlembagaan, kerana pentadbiran dan bidang kuasa ke atas wilayah laut bukanlah terletak kepada Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, pindaan terhadapnya tidaklah diperlukan.
Oleh kerana pengangkutan maritim amat penting di dalam perdagangan antarabangsa, Malaysia perlu berusaha ke arah menyalurkan kesemua peruntukan LOSC ke dalam undang-undang Malaysia – satu langkah bernas bagi mendukung dan mengangkat kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah negara perdagangan terbesar di dunia.
Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) adalah seorang pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia dan penyelidik bersekutu di Asian-African Legal Consultative Organization (AALCO), New Delhi, India. Beliau juga adalah seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.