Apa yang jadi di Semenanjung, GRS pertahankan mandat rakyat

Eleanor Michelle Patrick
Januari 9, 2021 07:31 MYT
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil pendekatan untuk terus mempertahankan mandat rakyat negeri ini selepas pilihan raya lalu. - Foto Pejabat JKM Sabah
KOTA KINABALU: Di sebalik kemelut politik di Semenanjung, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil pendekatan untuk terus mempertahankan mandat rakyat negeri ini selepas pilihan raya lalu.
Tegas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pihaknya telah membuat satu persefahaman di antara semua komponen parti kerajaan untuk tidak terpengaruh dengan 'gerakan' politik di Semenanjung sekarang.
"Kita juga sudah membuat satu persefahaman dan persetujuan dalam konteks politik negeri Sabah. Kita tidak boleh terpengaruh dengan 'gerakan' politik yang berlaku di lain tempat, terutama di Semenanjung.
"Ini kerana kita perlu (mempertahankan) mandat yang diberi rakyat, kita teruskan untuk bersama-sama mentadbir Sabah. Tidak timbul isu kita terpengaruh dengan perkara yang berlaku di luar Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) GRS di Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Terdahulu, beliau dalam majlis berkenaan turut mengumumkan senarai jawatankuasa GRS yang melibatkan parti-parti komponen kerajaan pemerintah.
Dalam senarai jawatankuasa tersebut, Hajiji selaku Pengerusi manakala tiga lagi timbalan pengerusinya adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah; Datuk Seri Bung Moktar Radin, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS); Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Presiden STAR; Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Untuk rekod, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu, GRS yang terdiri daripada komponen Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri baharu.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata, gabungan berkenaan adalah melibatkan sembilan parti di Sabah.
"Pada hari ini kita telah mengadakan mesyuarat GRS terdiri daripada sembilan parti yang telah diberi mandat oleh rakyat dalam PRN yang lalu.
"Di dalam mesyuarat ini kita telah bersetuju untuk memperkuatkan dan memperkasakan gabungan parti ini, supaya kita lebih menumpukan perhatian kita kepada memberi perkhidmatan serta pentadbiran negeri Sabah," katanya.
#Gabungan Rakyat Sabah #GRS #mandat rakyat #Datuk Seri Hajiji Noor #politik Semenanjung #Sabah #Datuk Seri Bung Moktar Radin