'Apa yang dia lakukan sehingga mendapat balasan sebegini?' - Ibu T. Nhaveen
T K Letchumy Tamboo
Jun 16, 2017 14:44 MYT
Jun 16, 2017 14:44 MYT
“Kenapa? Kenapa? Kenapa? Kenapa ini harus berlaku kepada anak saya? Apa yang dia lakukan sehingga dia mendapat balasan sebegini? Dengan siapa saya mahu bercakap sekarang? Dengan siapa saya akan berkongsi kesedihan dan kegembiraan saya?”
Itulah rintihan hati D. Shanti, ibu kepada T. Nhaveen iaitu remaja yang meninggal dunia akibat dibuli dan dipukul dengan kejam oleh sekumpulan remaja awal pagi Sabtu lalu di Jalan Kaki Bukit, George Town, Pulau Pinang.
Menurut laporan NST Online, ibu Nhaveen, tidak dapat dipujuk dan meraung kerana terlalu sedih sejurus mendapat berita tentang kematian anaknya.
Remaja berusia 18 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pulau Pinang pada 6 petang semalam.
Urusan pengkebumiannya dimulakan kira-kira pukul 2 petang tadi.
Nhaveen yang bercita-cita untuk menjadi komposer musik terkenal seperti A.R. Rahman, disahkan mati otak di unit rawatan rapi Hospital Pulau Pinang, setelah didera, diliwat dan dilecur sekumpulan remaja.
Dalam kejadian pada 2.10 pagi Sabtu lalu, Nhaveen dan rakannya, T Perviin, 19, dipukul lima lelaki, termasuk bekas rakan sekolahnya berusia antara 16 hingga 18 tahun, selepas berlaku perang mulut antara mereka.
Bagaimanapun, Perviin sempat melarikan diri sebelum Narvheen diseret ke kawasan padang dan dipukul menggunakan topi keledar, dibakar pada bahagian bahu dan duburnya ditusuk objek tumpul.