Apa yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet adalah rahsia besar - Fahmi

Madiha Abdullah
Februari 7, 2025 17:38 MYT
Fahmi menegaskan apa yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet adalah rahsia besar dan tidak boleh didedahkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menegaskan apa yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet adalah rahsia besar dan tidak boleh didedahkan.
Beliau memberikan jawapan itu ketika ditanya media tentang keadaan semasa perbincangan mengenai cadangan pelaksanaan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam dalam mesyuarat Jemaah Menteri, pada Jumaat.
"Perihal dalam mesyuarat Kabinet adalah rahsia besar. Kalau saya maklum (dedahkan) semua di sini akan terpakai pada Akta Rahsia Rasmi," katanya ringkas dalam sidang media mingguan kementerian.
Fahmi juga enggan menjawab dengan panjang lebar persoalan berkait cadangan garis panduan itu, sebaliknya meminta media merujuk kenyataan bersama yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Menerusi kenyataan itu, mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memutuskan setiap dasar yang dirangka berhubung cadangan pelaksanaan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
#Fahmi Fadzil #mesyuarat Kabinet #Akta Rahsia Rasmi #jemaah menteri
;