Apa tindakan PBT ceriakan rakyat semasa Raya PKP? - Soal peguam

Astro Awani
Mei 10, 2021 11:04 MYT
ADZLY: Kalau hendak diikutkan Akta Kerajaan Tempatan itu, macam-macam aktiviti dan kempen boleh dibuat untuk gembirakan rakyat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) digesa mengambil langkah sewajarnya seperti menceriakan golongan perantau yang tidak dapat pulang ke kampung halaman ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Setiausaha Agung, Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (PERKATA), Adzly Ab Manas berkata PBT selaku kerajaan ketiga yang masih meneruskan fungsinya seperti biasa ketika darurat perlu menggunakan peruntukan yang ada buat warganya.
“Dalam suasana Hari Raya Aidilfitri ini, kalaulah saya menjadi Datuk Bandar atau Yang Dipertua, saya akan cuba dengan sedaya upaya untuk menceriakan seberapa ramai rakyat dan pembayar cukai di kawasan perbandaran yang saya tadbir dan urus.
“Bajet ada. Kalau hendak diikutkan Akta Kerajaan Tempatan itu, macam-macam aktiviti dan kempen boleh dibuat untuk gembirakan rakyat. Anda PBT? Tak ada bajet?
“Bacalah Akta Kerajaan Tempatan. Macam-macam perniagaan anda dibenarkan buat untuk tingkatkan pendapatan PBT anda,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Adzly yang juga peguam bela dan peguam cara akui, mereka yang menjadi Datuk Bandar atau Yang Dipertua di Malaysia ini kebanyakkannya adalah Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang kurang atau tiada pengalaman langsung dalam politik dan perniagaan.
Justeru, beliau mempersoal sifat dan tahap kesedaran mereka untuk berjuang demi kesejahteraan, ekonomi dan hak rakyat.
“Mereka tentu gembira terima jawatan Datuk Bandar dan YDP atas usaha mereka kerja kuat, maka dapat ganjaran naik pangkat atau sebagai satu batu loncatan untuk naik pangkat lebih tinggi diperingkat Persekutuan kelak.
“Tapi ilmu politik untuk mendengar dan bertindak bijak, berjuang dan memastikan kebajikan, kemajuan ekonomi, pembangunan mampan secara praktikal untuk rakyat memerlukan keberanian, kebijaksanaan dan bakat sebagai pemimpin tidak di ajar di universiti. Teori dan praktikal adalah berlainan,” tegasnya.
Merujuk kepada PBT di Selangor, beliau menggesa supaya semua PBT berusaha bagi menceriakan rakyat Selangor ceria di Hari Raya Aidilfiriri tahun ini.
“(Ditambah) lagi arahan PKP ini, kita tidak boleh balik kampung rentas daerah dan negeri sekali lagi macam tahun lepas.
“Rakyat melihat dan menilai anda. Jika PBT-PBT di Selangor ini gagal, maka menteri besar dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini adalah paling gagal,” ujarnya.
#hari raya #Aidilfitri #pbt #rakyat #PKP #Adzly Ab Manas
;