Apa selepas PKPB? KKM pantau 2 minggu 'penting' ini
Harits Asyraf Hasnan
Mei 28, 2020 19:08 MYT
Mei 28, 2020 19:08 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) memberi bayangan lebih banyak sektor sosial termasuk pendidikan akan dibuka, jika bilangan kes positif harian kekal rendah pada kadar satu atau dua digit selepas musim perayaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham, berkata kementerian akan menentukan langkah seterusnya dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berdasarkan dapatan statistik itu nanti.
"Strategi pelaksaan PKPB membuahkan hasil. Namun persoalannya adalah bila kita akan tambah baik atau tukar strategi.
"Kebimbangan kami adalah musim perayaan. Minggu hadapan dan berikutnya, kita akan pantau kes harian dan jika kekal dengan pencapaian (ketika ini), dua digit terendah atau satu digit, barulah pada 9 Jun kita akan buat keputusan.
"Keputusan akan mengambil kira musim perayaan, kita harap lebih banyak sektor sosial akan dibuka termasuk pendidikan. Waktu adalah amat penting," katanya pada sidang media harian di sini pada Khamis.
Beliau pada masa sama turut memberi petanda bahawa sebarang keputusan akan dimaklumkan selepas 1 Jun ini.